PETALING JAYA: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai terjatuh daripada buaian pemainan sebuah pesta ria dalam kejadian berhampiran pusat beli-belah di Cheras Selatan dekat sini, tengah malam tadi.
Polis menerima laporan kira-kira pukul 12.05 tengah malam daripada seorang pekerja pesta ria tersebut mengenai kejadian itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Nasir Drahman berkata, saksi memaklumkan bahawa terdapat dua lelaki tempatan yang juga pengunjung terjatuh dari buaian berpusing di lokasi.
Katanya, seorang mangsa berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang hadir di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa berusia 30-an yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian sama ada terdapat kecuaian daripada pihak tapak pesta ria ataupun daripada mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Nasir, setakat ini ini hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku di dalam kejadian tersebut.
Ujarnya, pihak polis membuka kertas siasatan dan telah mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan dalam tempoh terdekat bagi mengetahui punca kematian,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE