SME Bank umum Indeks Sentimen PKS kukuh

SME Bank umum Indeks Sentimen PKS kukuh pada separuh pertama

SME Bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) mengumumkan keputusan Indeks Sentimen PKS kekal kukuh dengan skor 55.2 bagi separuh pertama 2025, meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang sederhana dan tidak menentu.

SME Bank berkata, walaupun berlaku sedikit penurunan berbanding 55.8 pada separuh sebelumnya, indeks masih berada di atas paras neutral 50, mencerminkan keyakinan yang stabil dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, sentimen usahawan kekal positif biarpun lebih berhati-hati dan realistik khususnya dalam aspek jualan, pengembangan dan pengambilan pekerja.

Katanya, pandangan ini selari dengan kerangka Ekonomi Madani yang menekankan pertumbuhan mampan dan inklusif dalam mendepani cabaran ketidaktentuan global termasuk impak pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

“Walaupun sentimen jangka pendek masih sederhana, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh disokong oleh reformasi struktur, pelaburan berkualiti dan tumpuan terhadap daya tahan serta kemakmuran bersama.

“Antara sorotan utama tinjauan kali ini termasuk peningkatan jangkaan jualan oleh perusahaan mikro, pelaksanaan e-invois yang memberi kesan positif, serta peningkatan berperingkat dalam penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“PMKS juga menunjukkan kecenderungan untuk terus mengembangkan perniagaan namun dengan pendekatan yang lebih berwaspada, selain berada dalam kedudukan kewangan yang mampan walaupun kos operasi kekal tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee Li Qing berkata, Indeks Sentimen PKS menunjukkan prospek ekonomi Malaysia bagi 2025 kekal berkembang, meskipun pada kadar sederhana.

Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan 4.4 peratus pada suku pertama 2025, menjadikannya yang terendah sejak suku pertama 2024, di bawah julat unjuran rasmi 4.5 hingga 5.5 peratus.

“Namun, kadar pertumbuhan Malaysia masih lebih baik berbanding beberapa negara jiran seperti Thailand dan Singapura. Sentimen dalam indeks ini juga sejajar dengan Leading Index Jabatan Perangkaan Malaysia yang menjangka pertumbuhan perlahan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tinjauan separuh pertama 2025 yang dijalankan dari Januari hingga April melibatkan penyertaan tertinggi setakat ini dengan 2,007 responden mewakili 39 sektor, sekali gus menjadikan hasil kajian ini sebagai penanda aras penting terhadap landskap PMKS dan hala tuju ekonomi Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN