Pengeluaran i-Sinar RM10,000 demi survival, bukan 'political mileage' - Utusan Malaysia

Pengeluaran i-Sinar RM10,000 demi survival, bukan ‘political mileage’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Langkah pengeluaran RM10,000 melalui program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukanlah satu ‘political mileage’ sebaliknya ia talian hayat kepada kelangsungan kehidupan majoriti rakyat negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, perkara itu amat dinanti-nantikan masyarakat negara ini yang rata-ratanya terkesan akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, jika bukan dengan jumlah RM10,000, kerajaan sepatutnya boleh membenarkan pengeluaran sehingga RM5,000.

“Ada yang memerlukannya bagi membayar sewa rumah yang tertunggak sehingga diarah keluar, ada yang memerlukan bagi melunaskan tunggakan ansuran kenderaan, malah ada yang merintih bantuan kerana tidak cukup menampung kehidupan diri dan keluarga ekoran diberhentikan kerja.

“Ini realiti masyarakat di bawah dan saya percaya rintihan sama didengar bukan sahaja di Johor, malah seluruh negara dimana rakyat sedang mengalami situasi sama, malah mungkin ada yang lebih teruk yang kita tidak sedari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya berharap kerajaan akan dapat meneliti semula keperluan pemberian i-Sinar walaupun sedikit kurang jumlahnya namun ia adalah lebih baik daripada tiada.

Tambah beliau, langkah sedemikian bukanlah ‘political mileage’ tetapi sebaliknya adalah soal survival kehidupan rakyat yang amat-amat memerlukan.

“Keperluan ini semakin mendesak khusus buat mereka yang tinggal di bandar dan kota raya yang amat menunggu pengumuman tersebut dalam Bajet 2022 lalu.

“Malah ada sesetengah daripada mereka sudah pun merancang membayar pelbagai hutang jika wang KWSP dapat dikeluarkan,” ujarnya.

Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini berjumlah RM332.1 bilion iaitu peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara yang pernah diumumkan namun tiada pengumuman berkenaan pengeluaran i-Sinar dibuat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN