Tapak Highland Towers perlu elak projek bernilai tinggi - Utusan Malaysia

Tapak Highland Towers perlu elak projek bernilai tinggi

KEADAAN terkini blok Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang, Selangor. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tapak Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang dekat sini memerlukan jaminan kukuh bagi memastikan ia kekal milik awam melalui proses ambil alih tanah dan pewartaan rasmi sebagai tanah rizab atau taman awam supaya tidak dibangunkan sebagai projek hartanah bernilai tinggi.

Pakar alam sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din berkata, selepas pengambilalihan, tanah perlu diwarta secara rasmi sebagai taman awam atau ruang terbuka atau kategori ri­zab yang jelas.

Menurutnya, langkah ini menghalang pertukaran guna tanah secara senyap tanpa kelulusan kerajaan negeri.

“Jaminan praktikal diperlukan supaya tapak tidak diba­ngunkan sebagai projek hartanah bernilai tinggi, melalui gabungan status tanah, status guna tanah dan sekatan perundangan serta bukan hanya sekadar melalui pengumuman.

”Selepas pengambilalihan, tanah perlu diwarta secara rasmi sebagai taman awam, ruang terbuka atau rezab. Langkah ini mengurangkan kemungkinan tanah ditukar secara senyap kerana sebarang pelupusan memerlukan kelulusan kerajaan negeri dan proses yang lebih ketat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, kondominium Highland To­wers yang pernah menjadi saksi tragedi paling memilukan negara pada 11 Di­sember 1993 telah terbiar hampir 32 tahun.

Usaha merobohkan dua blok tinggalan kini memasuki fasa paling kritikal apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan proses perundangan bagi tindakan tersebut sedang diselesaikan di peringkat mahkamah.

Mohd. Fadhil berkata, kunci perancangan kedua terpen­ting ialah zon guna tanah dalam Rancangan Tempatan (RT) yang diluluskan.

Katanya, status taman rekreasi mesti terpahat dalam dokumen RT digazetkan.

“Jika ada cubaan menukar guna tanah, perubahan RT mesti dibuka untuk tontonan awam dan semakan pihak berkepen­tingan. Ini memberi peluang kepada komuniti membantah sebarang perubahan,” katanya.

Sementara itu, pakar pengu­rusan alam sekitar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, undang-undang dan peraturan mengenai tanah boleh diubah dari semasa ke semasa.

Katanya, walaupun sesuatu kawasan telah diwarta, ia boleh dihapuskan pada bila-bila masa.

“Untuk mengekalkan status tanah, semua pihak termasuk masyarakat perlu sedar dan bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN