SHAH ALAM: Penduduk yang tinggal dekat kawasan berisiko banjir di seluruh Selangor dinasihatkan supaya membuat persediaan bagi menghadapi bencana itu berikutan Monsun Timur Laut diramalkan bermula pada bulan depan.
Kesemua daerah yang melibatkan Petaling, Klang, Sepang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Sabak Bernam dilaporkan tidak terlepas daripada terkesan dengan perubahan cuaca berkenaan.
Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, semua penduduk diminta mengambil langkah persediaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Berdasarkan tinjauan taburan hujan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan purata hujan di negeri ini pada Disember depan antara 200 hingga 300 milimeter (mm). Pada Januari tahun depan, purata hujan pula diramalkan antara 150 hingga 230mm) diikuti Februari (140mm–210mm) dan Mac (200mm–300mm),” katanya.
Tambahnya, oleh demikian keadaan berkenaan dikhuatiri akan menyebabkan risiko kejadian banjir dan banjir kilat di semua daerah terlibat.
“Kerajaan negeri sudah mengarahkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan pihak berkuasa untuk melaksanakan tindakan persediaan awal. Tindakan itu bagi menghadapi kejadian banjir, banjir kilat, tanah runtuh dan ribut sepanjang tempoh Monsun Timur Laut,” katanya.
Bulan lalu, MetMalaysia menolak kemungkinan cuaca tidak menentu akan menyebabkan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku bulan ini sebagai ekstrem.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Lim Ze Hui berkata, Malaysia pernah mengalami Monsun Timur Laut ekstrem pada 2014 yang menyebabkan banjir terburuk dalam sejarah banjir negara.
Namun, monsun kali ini mungkin tidak akan seteruk itu dan ia berkemungkinan hanya akan sama seperti berlaku pada 2019 dan 2020.