Gaza terus berdarah, 52 maut dalam tempoh 24 jam - Utusan Malaysia

Gaza terus berdarah, 52 maut dalam tempoh 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 52 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang berterusan terhadap Semenanjung Gaza sejak malam tadi, menurut kenyataan agensi pertahanan awam wilayah itu dan beberapa hospital tempatan.

Agensi berkenaan, yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas, memaklumkan serangan tersebut bermula awal pagi dan menyasarkan kawasan kediaman serta laluan awam di utara, tengah dan selatan Gaza.

Hospital di seluruh wilayah itu mengesahkan menerima mayat 10 mangsa dari Bandar Gaza, 14 dari kawasan tengah, dan 28 dari selatan, termasuk Khan Younis dan Deir el-Balah. Sebahagian besar mangsa maut akibat serangan udara, manakala yang lain terkena tembakan dron dan serangan bersenjata.

Antara yang terbunuh ialah Omar al-Hayek, 42, seorang kakitangan organisasi kemanusiaan Perancis, Doktor Tanpa Sempadan (MSF). Beliau dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas sekumpulan orang awam yang sedang menunggu kenderaan MSF di Deir el-Balah. Empat lagi kakitangan turut cedera, seorang dalam keadaan kritikal.

“Semua petugas memakai vest yang jelas menunjukkan identiti mereka sebagai kakitangan perubatan kemanusiaan,” kata kenyataan rasmi MSF, sambil menyifatkan insiden itu sebagai “serangan tidak boleh diterima terhadap bantuan kemanusiaan”.

Di Khan Younis, Hospital Nasser melaporkan hampir 30 kematian termasuk 14 penduduk yang maut ditembak ketika beratur mengambil bantuan makanan di kawasan Al-Tina dan Morag. Dalam satu insiden lain, Hospital Syuhada Al-Aqsa menerima sembilan mayat susulan beberapa serangan udara berhampiran Deir el-Balah.

Seorang jurufoto AFP di lokasi menggambarkan suasana memilukan di bilik mayat hospital: beberapa mayat dibalut dengan kain putih sementara ahli keluarga meratapi pemergian orang tersayang.

Ketua Misi Perubatan MSF di Gaza, Karin Huster, meluahkan kemarahan terhadap serangan itu.

“Sudah cukup dengan pembunuhan ini, sama ada disasarkan atau tidak. Ini tidak boleh diterima,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN