Pendakwa mohon kenyataan saksi yang meninggal dunia diterima masuk sebagai keterangan - Utusan Malaysia

Pendakwa mohon kenyataan saksi yang meninggal dunia diterima masuk sebagai keterangan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon agar rakaman kenyataan seorang ahli perniagaan yang ditemukan maut selepas terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang, bulan lalu, diterima masuk sebagai keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, pihak pembelaan gagal membuktikan kenyataan setebal tujuh muka surat yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Datuk Ewe Swee Kheng, dibuat secara paksaan.

Beliau berhujah, perkara yang diceritakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Bhd. itu adalah benar dan diakui sendiri oleh mendiang ketika sesi soal siasat yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 3 Julai, 8 Julai dan 9 Julai tahun lalu manakala kenyataan terakhir pada 14 Ogos lalu.

Ahli perniagaan berusia 53 tahun itu yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, meninggal dunia pada pukul 5.37 pagi, 5 Oktober lalu selepas ditemukan di bahagian bawah kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang manakala sebab kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat yang tinggi.

Pada 12 November lalu, pihak pendakwaan turut mengemukakan sijil kematian Swee Kheng dan perakuan di bawah Seksyen 90A(a) Akta Keterangan 1950 dan ditandakan sebagai eksibit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Francine Cheryl Rajendram berhujah, kematian mendiang telah dibuktikan manakala keseluruhan rakaman dilakukan ketika siasatan kes terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pendakwaan berhujah, mendiang bersetuju bahawa keempat-empat kenyataan tersebut adalah miliknya dan menurunkan tanda tangan serta tanda tangan ringkas selepas membacanya.

“Saksi ini telah meninggal, apa yang diberitahu ketika siasatan, itulah yang dirakam oleh pihak SPRM dan diakui sendiri oleh mendiang yang kemudian menurunkan tanda tangan dan tanda tangan ringkasnya” ujar Francine.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan kenyataan mendiang Swee Kheng sebagai sebahagian keterangan pada perbicaraan kes rasuah terhadap Guan Eng melibatkan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang dilantik sebagai kontraktor bagi projek berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar.

Sebelum itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng membantah permohonan tersebut atas alasan keseluruhan kenyataan itu adalah rekaan pihak SPRM kerana sebahagian besar adalah ditulis dengan tulisan tangan manakala empat perenggan pada muka surat terakhir adalah ditaip.

Hujah beliau, pegawai perakam SPRM, Penolong Penguasa Mohd. Nazri Mansor dalam keterangannya sendiri mengakui bahawa kenyataan tersebut bukan rakaman penuh.

Gobind turut mempertikaikan mengapa kenyataan terakhir iaitu pada 14 Ogos lalu, dirakam setahun kemudian.

Sehubungan itu, pihak pembelaan menghujahkan kenyataan itu harus ditolak dan tidak diterima masuk sebagai keterangan kerana ia gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 30 Akta SPRM.

Terdahulu, Mohd. Nazri ketika memberi keterangan menyatakan, individu yang dipanggil membantu siasatan tertakluk kepada peruntukan Seksyen 30(8) akta itu supaya mendedahkan segala maklumat seperti yang dikehendaki oleh SPRM.

Menjawab soalan Gobind pada sesi pemeriksaan balas, saksi berkata, mendiang menyatakan secara lisan beliau faham amaran yang diberikan sebelum kenyataannya dirakam, namun jawapan itu tidak direkodkan secara bertulis.

Mohd. Nazri turut menyatakan beliau tidak merakam jawapan ahli perniagaan itu ketika mendiang menyatakan kenyataannya adalah betul.

Ujar saksi, beliau juga terlupa meminta mendiang menurunkan tanda tangan ringkas pada tambahan yang dibuatnya dalam kenyataan tersebut.

Mohd. Nazri berkata, mendiang mengakui menceritakan perkara sebenar ketika ditanya sama ada dia diugut atau dipaksa memberikan kenyataan.

Ketika sesi soal balas, Gobind turut mempertikai bahawa tiga kenyataan terdahulu yang dibuat pada Julai tahun lalu adalah berbeza dengan kenyataan terakhir yang dirakam setahun kemudian (14 Ogos lalu).

Bagaimanapun, Mohd. Nazri menyatakan, mendiang seorang yang sangat teliti ketika memberikan kenyataan dan masih mengingati butiran yang didedahkannya walaupun setahun selepas itu.

Hakim Azura Alwi menetapkan 13 Disember ini bagi memutuskan permohonan pihak pendakwaan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya