Pemimpin PRS digesa fokus PRN Sarawak - Utusan Malaysia

Pemimpin PRS digesa fokus PRN Sarawak

Abang Johari Tun Openg (kanan) menyampaikan cek insentif kepada Bonnie sambil diperhatikan oleh Abdul Karim (belakang kiri) dan Fatimah Abdullah (tengah) pada majlis pemberian insentif kepada atlit paralimpik di Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pemimpin-pemimpin Parti Rakyat Sarawak (PRS) digesa fokus untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meminta supaya pemimpin-pemimpin parti itu ketepikan sebarang sengketa dan masalah, sebaliknya teruskan legasi kepimpinan mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing yang meninggal dunia Ahad lalu.

Masing merupakan presiden PRS dan juga timbalan ketua menteri Sarawak dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh selama lapan penggal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua pemimpin PRS perlu mengenepikan sebarang masalah dan sengketa, sebaliknya bersatu dan fokus kepada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi,” kata Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

Beliau berkata PRS adalah sebuah parti yang kuat dan telah diurus dengan baik di bawah pimpinan mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing sebagai presidennya.

Oleh itu, katanya legasi mendiang Masing seharusnya diteruskan dan tidak perlu ditimbulkan sebarang masalah dan dikeluarkan dalam media sosial.

Katanya mendiang telah berjaya mendidik ramai pemimpin yang bagus dalam PRS dan dengan pemergian beliau sudah pasti ada seseorang presiden baharu.

“Harapan saya jagalah parti dengan baik agar legasi mendiang James boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kewangan kepada dua atlet paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Turut hadir Menteri Kebajikan, kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga, dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Fatimah Abdullah.

Menurut Karim, mendiang Masing merupakan seorang pemimpin yang tegas dan sangat fokus, yang sentiasa bersuara mempertahankan kebajikan dan hak Sarawak dan rakyat terutama hak kaum Dayak berhubung hak Tanah Adat Bumiputera (NCR).

“Saya tidak pernah melihat beliau meninggikan suara, tetapi beliau amat tegas dalam menghuraikan pandang beliau mengenai sesuatu isu.

“Beliaulah anak jati Sarawak yang sangat komited kepada Sarawak dan beliau sentiasa memperjuangkan hak-hak Sarawak kepada pemimpin-pemimpin kerajaan persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata perhimpunan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dijadulkan pada 7 November ini di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dibatalkan atas nasihat Kementerian Kesihatan yang khuatiri boleh menyebabkan jangkitan Covid-19 kerana kehadiran delegasi yang ramai.

Katanya, GPS akur kepada arahan Kementerian Kesihatan itu dan ia menunjukkan GPS lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×