PASIR GUDANG: Pembukaan semula sesi persekolahan di negeri ini diibaratkan sebagai sambungan talian hayat khususnya buat pengusaha bas dan van sekolah yang telah kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Salah seorang pengusaha, Christina Raymond, 42, berkata, pihaknya amat bersyukur dan teruja kerana dapat kembali mengusahakan perkhidmatan van sekolah yang telah dilakukan sejak lebih 10 tahun lalu.
“Saya sangat teruja dan gembira kerana setelah lebih setahun lalu kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19, kini kami dapat kembali melakukan tugas hakiki.
“Apabila sesi persekolahan ditutup, saya dan rakan-rakan lain kehilangan pendapatan, sudah tidak ingat berapa banyak kali kami menangis dan bersedih kerana situasi berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Program Sanitasi Bas dan Van Sekolah di Dewan Serbaguna Taman Scientex, di sini hari ini.
Christina bagaimanapun berharap pembukaan sesi persekolahan ini akan membolehkan persekolahan berlangsung secara bersemuka seperti biasa dan tidak ditutup lagi pada masa depan.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Nur Azzah Jaafar, 43, pula berharap pihak berwajib khususnya Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dapat memberi kelonggaran terhadap pemilik kenderaan mereka sekiranya persekolahan ditutup.
Permintaan itu dibuat golongan pengusaha bas dan van sekolah kerana dalam tempoh persekolahan ditutup, mereka sudah melakukan pemeriksaan Puspakom sebanyak dua kali.

“Kami perlu melakukan pemeriksaan setiap enam bulan sekali dan setiap kali pemeriksaan, banyak kos yang perlu dikeluarkan bagi memastikannya kenderaan berada dalam keadaan terbaik.
“Namun harapan kami sekiranya persekolahan tidak dibuka, dapat diberi kelonggaran iaitu pemeriksaan hanya dibuat apabila sesi persekolahan kembali dibenarkan,” jelasnya yang sudah menceburi kerjaya tersebut sejak lapan tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Taman Scientex II, Noor Azleen Ambros berkata, penganjuran program sanitasi berkenaan adalah untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menggunakan perkhidmatan bas dan van sekolah.
Katanya, program itu juga diharap dapat memberi semangat kepada pengusaha terlibat untuk memberikan perkhidmatan terbaik mereka.
“Hal ini kerana sejak pandemik Covid-19 melanda negara, pengusaha bas dan van sekolah adalah antara golongan yang terkesan teruk. Jadi saya harap program ini dapat menyuntik kembali semangat kerana ini mata pencarian mereka,” jelasnya. – UTUSAN