Peguam Najib mohon tarikh keputusan rayuan ditangguhkan - Utusan Malaysia

Peguam Najib mohon tarikh keputusan rayuan ditangguhkan

najib
NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak sampai sehari Mahkamah Rayuan memaklumkan akan membuat keputusan atas rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd., peguam bekas Perdana Menteri itu telah memohon agar tarikh tersebut ditangguhkan.

Menurut surat yang dihantar kepada Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya, mereka memohon penangguhan tersebut kerana Najib masih berada dalan kuarantin wajib selepas pulang dari Singapura.

“Pihak perayu (Najib) dengan rendah diri ingin memohon untuk tarikh 8 Disember 2021 tersebut dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu seterusnya atau mana-mana tarikh lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah yang mulia ini.

“Alasan kepada perkara ini ialah perayu akan berada di Singapura sehingga 5 Disember 2021 dan sejurus selepas pulang dari Singapura, perayu diwajibkan untuk kuarantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Disember 2021.

“Oleh yang demikian, perayu hanya boleh hadir ke Mahkamah atau tempat awam bermula 13 Disember 2021,” menurut surat yang diperoleh media sebentar tadi.

Walaupun firma guaman, Tetuan Shafee & Co. dalam surat terbabit telah memberikan cadangan tarikh keputusan iaitu di antara 13 hingga 17 Disember ini namun firma terbabit turut menyatakan mereka terikat dengan pelbagai kes lain di Mahkamah Tinggi.

Tambah surat itu, pada 8 Disember, terdapat prosiding sambung bicara terhadap peguam bela Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Shafee Abdullah yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram  di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan bagi kes ini adalah sangat terhad dan merupakan satu perkara yang sukar untuk menggantikan dengan tarikh baru sekiranya tarikh perbicaraan ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada keputusan ini,” kata firma terbabit.

Mereka juga memaklumkan bahawa Najib mempunyai prosiding sambung bicara bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion, juga di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di antara 13 hingga 16 Disember ini.

Pada minggu seterusnya iaitu antara 20 hingga 23 Disember 2021, firma terbabit akan terlibat dalam perbicaraan kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Perbicaraan tersebut melibatkan kanak-kanak di bawah umur yang didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh). Hakim dalam kes tersebut lebih berkenan sekiranya kes tersebut dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat,” jelas surat terbabit.

Sekitar pukul 11.30 pagi tadi, Mahkamah Rayuan dalam satu kenyataan memaklumkan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil akan membuat keputusan atas sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan atas Najib.

Turut bersidang ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 8 Disember tersebut, panel terbabit akan membuat keputusan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Julai 2020 atau membebaskan Najib daripada sabitan salah yang telah dibuat sekali gus membatalkan hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya.

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman tersebut selepas mensabitkan Najib dengan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

SRC International merupakan syarikat subsidiari 1MDB.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya