AMPANG: Penyanyi, Nourul menyifatkan pengorbanan suaminya, Eric Daniel Depp, sebagai tulang belakang yang membolehkannya memberi sepenuh fokus terhadap persiapan konsert sulungnya, For You Nourul, yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Menurut Nourul, suaminya sanggup mengetepikan urusan peribadi demi menjaga anak-anak ketika dia sibuk dengan jadual latihan dan persediaan konsert.
“Eric banyak berkorban masa menjaga anak-anak sepanjang saya sibuk. Bagi saya, pengorbanan itu sesuatu yang manis dan bukan bersifat negatif.
“Kadangkala kita perlu mengalah demi mendapatkan ketenangan dan keharmonian dalam sesuatu perkara. Itulah erti sebenar pengorbanan bagi saya,” katanya.
Dalam pada itu, Nourul tetap teruja untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga tercinta memandangkan tarikh konsertnya jatuh berhampiran sambutan perayaan tersebut.
Katanya, ahli keluarganya dijadual tiba di ibu kota pada 28 Jun bagi meraikan “Raya Mini” bersama-sama.
Berkongsi mengenai keadaan fizikalnya pula, Nourul atau nama sebenarnya, Nourulhuda Abdul Wahab, 47, mengakui kekerapan berulang-alik dari Bali, Indonesia ke Kuala Lumpur sejak September tahun lalu memberi kesan terhadap tahap kesihatannya.
“Perjalanan ulang-alik Kuala Lumpur ke Bali memang mencabar sehingga menyebabkan timbulnya urat varikos pada bahagian kaki. Suami sendiri menyedari keadaan itu dan pernah menegur saya.
“Namun, saya hanya berdiam diri kerana sedar ia berpunca daripada kekerapan menaiki pesawat sejak setahun lalu. Tambahan pula, faktor usia yang bakal mencecah 50 tahun turut memberi kesan,” katanya.
Walaupun dihimpit jadual padat termasuk penglibatan dalam kempen Tan Skin bersama Alha Alfa serta seminar Fire Talk pada Julai depan, fokus utama Nourul ketika ini tertumpu sepenuhnya terhadap kualiti persembahannya.
Konsert For You Nourul menjadi penantian lebih tiga dekad buat penyanyi itu untuk menghimpunkan peminat setianya dalam sebuah malam penuh nostalgia di Zepp Kuala Lumpur. -UTUSAN









