KANGAR: Jumlah permohonan borang kebenaran nikah di negeri ini melonjak mendadak sejak kebenaran rentas negeri dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa empat dilaksanakan baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Muhammad Hafeez Abu Seman berkata, pihaknya menerima antara 30 hingga 50 permohonan untuk diproses sehari berbanding tujuh sebelum ini.
Katanya, pihak jabatan mendapati beberapa faktor menyumbang kepada peningkatan jumlah tersebut.
“Antara sebab peningkatan ini berlaku secara mendadak disebabkan pelaksanaan PPN fasa empat yang membenarkan majlis-majlis perkahwinan dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa.
“Jika dahulu, hanya enam orang sahaja dibenarkan untuk satu-satu majlis pernikahan, kini pihak pengantin boleh menjemput lebih ramai tetamu untuk hadir.
“Tambahan pula sambutan majlis pernikahan kini boleh diadakan di pelbagai tempat seperti masjid, dewan orang ramai dan sebagainya berbanding hanya di rumah pengantin perempuan satu ketika dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Katanya, pihak JAIPs menyambut baik pelaksanaan PPN fasa 4 yang membenarkan majlis diadakan dengan menjemput lebih ramai tetamu kerana ia bertepatan dengan tujuan walimatul urus itu sendiri, iaitu menguar-uarkan kepada khalayak mengenai sesuatu pernikahan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan mengamalkan SOP dengan betul bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Selain itu, kebenaran untuk mengadakan kursus praperkahwinan seperti biasa turut menyumbang kepada peningkatan permohonan untuk bernikah di negeri ini.
“Mereka biasanya akan datang secara berpasangan untuk menghantar borang kebenaran nikah,” katanya
Tambahnya, setakat ini tiada kesesakan luar biasa di ruangan menunggu kerana penduduk di negeri ini dilihat patuh kepada SOP semasa.
Selain permohonan nikah, pelbagai perkhidmatan lain seperti proses cerai, rujuk, proses mendapatkan salinan sijil nikah dan lain-lain turut mencatatkan peningkatan.-UTUSAN ONLINE