GoRental bawa tenaga lestari ke luar bandar

GoRental bawa tenaga lestari ke luar bandar

GORENTAL turun padang melalui sistem mikrogrid mudah alih berasaskan tenaga solar dan bateri di Huay Nam Rin Village, Chiang Mai, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Ketika dunia berdepan tekanan kenaikan harga bahan api dan ketidaktentuan bekalan tenaga, isu akses elektrik di kawasan luar bandar terus menjadi cabaran yang belum diselesaikan sepenuhnya.

Dalam usaha merapatkan jurang tersebut, penyedia penyelesaian tenaga bersih dari Singapura, GoRental Global tampil dengan pendekatan berbeza melalui pelaksanaan sistem mikrogrid mudah alih berasaskan tenaga solar dan bateri di Huay Nam Rin Village, Chiang Mai, Thailand.

Langkah itu selari dengan strategi syarikat yang meletakkan Malaysia sebagai pasaran utama pengembangan serantau, di samping memperkukuh inisiatif #GoImpact bagi menyampaikan penyelesaian tenaga terdesentralisasi kepada komuniti kurang mendapat perkhidmatan.

Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI menemu bual Pengasas dan Pengarah Urusan GoRental Global, COLIN PEH, bagi mengupas rasional pemilihan lokasi, pendekatan unik syarikat dalam membantu komuniti serta peranan tenaga di rantau ini.

UTUSAN: Mengapa GoRental memilih untuk turun padang ke kampung seperti Huay Nam Rin bagi sekadar menyalurkan sumbangan?

COLIN: Sebelum ini, kebanyakan inisiatif kami lebih kepada sumbangan apabila ada permintaan daripada organisasi kemanusiaan.

Namun kali ini, kami memilih untuk turun sendiri ke lapangan bagi memahami keperluan sebenar komuniti.

Apabila berada di sana, kami dapat melihat sendiri keadaan hidup mereka dan menyedari betapa bertuahnya kita.

Penduduk mungkin tidak mempunyai wang, tetapi mereka tetap menunjukkan penghargaan dengan cara tersendiri seperti memberi hasil tanaman.

Bagi kami, itu menggambarkan makna sebenar bantuan komuniti iaitu bukan sekadar memberi, tetapi memahami dan memperkasakan.

 

Mengapa kampung ini dipilih berbanding lokasi lain?

Kami menilai beberapa profil kampung sebelum membuat keputusan.

Satu daripada faktor utama ialah skala. Kampung ini mempunyai sekitar 30 keluarga, yang membolehkan kami membantu secara menyeluruh tanpa ada yang tercicir.

Selain itu, hampir 60 peratus penduduk terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas, golongan yang paling memerlukan sokongan dari segi kesihatan, keselamatan dan kehidupan harian.

Kami juga melihat keperluan mereka lebih mendesak berbanding kawasan lain.

 

Apakah konsep di sebalik inisiatif #GoImpact dan “Power to Empower”?

#GoImpact merupakan platform keseluruhan bagi usaha tanggungjawab sosial kami, manakala “Power to Empower” adalah mesej utama yang ingin disampaikan.

Kami percaya tenaga bukan sekadar bekalan elektrik, tetapi satu alat untuk memperkasakan kehidupan.

Dengan menyediakan tenaga, kami membantu meningkatkan taraf hidup komuniti dari segi pendidikan, keselamatan dan produktiviti harian.

 

Dari sudut lebih luas, bagaimana anda melihat isu ketidaksamarataan akses tenaga di Asia Tenggara?

Secara asasnya, tenaga sering dikaitkan dengan pulangan ekonomi.

Jika sesuatu kawasan tidak menjana keuntungan, pelaburan dalam infrastruktur tenaga biasanya tidak diberi keutamaan.

Inilah yang menyebabkan jurang akses tenaga berlaku.

Peranan kami adalah di peringkat akar umbi, menyediakan sistem tenaga mampu milik yang boleh digunakan dalam jangka panjang tanpa bergantung sepenuhnya kepada grid utama.

 

Bagaimana sistem yang diperkenalkan ini membantu komuniti?

Kami menyediakan sistem mikrogrid yang boleh membekalkan tenaga untuk tempoh panjang dengan kos lebih rendah.

Di Huay Nam Rin, sebanyak 31 unit bateri mudah alih dan 60 panel solar dipasang, menghasilkan kira-kira 40 kilowatt kapasiti tenaga boleh baharu.

Sistem ini membolehkan penduduk menggunakan lampu, kipas dan peranti asas, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada diesel dan minyak tanah yang mahal serta mencemarkan alam sekitar.

Akses kepada elektrik yang stabil juga memberi kesan langsung kepada kehidupan harian termasuk membolehkan kanak-kanak belajar pada waktu malam.

 

GoRental turut memperkenalkan model sumbangan semula. Bagaimana ia berfungsi?

Kami memperuntukkan sekitar 10 peratus daripada hasil untuk disalurkan kembali kepada komuniti dalam bentuk sistem tenaga.

Selain itu, kami juga menggalakkan penggunaan semula peralatan.

Sebagai contoh, bateri yang masih boleh digunakan akan dikumpulkan dan disalurkan kepada komuniti yang memerlukan.

Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga memberi impak lebih luas.

 

Adakah terdapat perancangan untuk memperluaskan inisiatif ini ke Malaysia?

Ya, Malaysia merupakan antara fokus utama kami.

Kami telah pun mewujudkan kehadiran di negara ini dan merancang melancarkan kedai konsep interaktif di Johor menjelang Jun 2026.

Pada masa sama, kami sedang bekerjasama dengan yayasan tempatan serta pertubuhan bukan kerajaan bagi melaksanakan penggunaan sistem solar dan bateri modular di kawasan luar grid termasuk komuniti Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

 

Apakah cabaran utama dalam menyediakan akses tenaga kepada komuniti luar bandar?

Cabaran terbesar ialah kos dan kemampuan.

Walaupun teknologi tersedia, tidak semua komuniti mampu membiayainya.

Sebab itu kami memperkenalkan model pembiayaan yang lebih fleksibel supaya kos dapat diagihkan dalam tempoh tertentu dan menjadi lebih mampu milik.

 

Bagaimana anda melihat peranan tenaga lestari dalam menangani kenaikan kos sara hidup?

Kenaikan harga tenaga akan memberi kesan langsung kepada kos makanan, pengangkutan dan kehidupan harian.

Jika kita dapat menyediakan tenaga yang lebih murah dan stabil, ia akan membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, terutama di kawasan luar bandar.

Dalam konteks Asia Tenggara yang menyaksikan peningkatan permintaan elektrik dan pendedahan kepada turun naik harga bahan api, sistem mikrogrid terdesentralisasi dilihat sebagai penyelesaian yang praktikal dan berskala.

 

Apakah visi jangka panjang GoRental dalam bidang ini?

Inisiatif ini merupakan satu titik permulaan.

Matlamatnya adalah untuk membina sesuatu yang boleh diulang, diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya impaknya tidak terhad kepada satu projek sahaja.

Kami melihat projek di Thailand sebagai model yang boleh diperluaskan ke seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Selain itu, kami juga merancang pengembangan ke Kemboja menjelang suku ketiga 2026 dan Indonesia pada suku keempat tahun sama.

Bagi kami, ini bukan sekadar perniagaan, tetapi usaha untuk memastikan lebih banyak komuniti mendapat akses kepada tenaga yang boleh diharapkan dan mampu milik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN