Pas desak SPRM, PDRM dedah hasil siasatan ke atas suami Zeti 

Pas desak SPRM, PDRM dedah hasil siasatan ke atas suami Zeti 

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa segera mendedahkan hasil siasatan aset dana milik 1MDB melibatkan akaun Iron Rhapsody Ltd. dan Cutting Edge Industries Ltd. 

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, kedua-dua syarikat tersebut dikaitkan dengan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh. 

Khairil Nizam juga menegaskan, PDRM wajar tampil memberikan penjelasan kerana siasatan kes berkenaan sudah dimulakan sejak awal tahun ini. 

Beliau berkata, penjelasan itu perlu bagi membuktikan kewibawaan PDRM sebagai sebuah institusi awam. 

“PDRM juga mengakui bahawa siasatan telah dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Khairil Nizam berkata, Pas merakamkan ucapan terima kasih kepada SPRM dan agensi penguatkuasaan antarabangsa susulan kejayaan membantu memulihkan pemulangan aset dana 1MDB yang kini berjumlah RM20.5 bilion kepada Kerajaan Malaysia. 

Sebelum ini, media melaporkan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa PDRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mereka susulan pengesahan SPRM mengenai RM65 juta dana 1MDB telah disimpan dalam akaun bank di Singapura. 

Berikutan itu, pada Mac lalu, Tawfiq disoal siasat polis berhubung dana 1MDB, bagaimanapun tiada maklumat terkini mengenai siasatan itu. 

Difahamkan, SPRM kini sedang giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan serta Singapura. 

Antara langkah yang terbaharu diumumkan SPRM adalah telah menerima pemulangan wang berjumlah RM3.61 juta dari Commercial Affairs Department (CAD) Singapura pada 12 November lalu. 

Selain itu, Malaysia juga menerima pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan menerusi satu akaun amanah milik Kementerian Kewangan. 

Terdahulu, Kerajaan Singapura juga telah membantu pemulangan aset sebanyak RM64.42 juta kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik Tawfiq dan Samuel Goh. 

SPRM juga dimaklumkan sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya