KUALA LUMPUR: Tiada rancangan menambah bilangan pegawai Tourism Malaysia untuk ditempatkan di pejabat luar negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, penambahan pegawai tersebut akan memberi kesan khususnya membabitkan kewangan yang tinggi.
“Perjawatan pegawai berpusat di setiap pejabat ini seramai dua orang.
“Pada masa ini, seramai 36 pegawai sedang mengisi perjawatan di semua pejabat luar negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) meminta kerajaan menjelaskan sama ada Tourism Malaysia akan menambah pegawainya di luar negara bagi mempromosikan lokasi pelancongan Malaysia pasca pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Santhara berkata, Tourism Malaysia yang juga agensi di bawah seliaan kementerian mempunyai 30 pejabat sedang beroperasi di lebih 20 negara di seluruh dunia.
Jelasnya, program promosi tetap diteruskan ibu pejabat dan pejabat cawangan Tourism Malaysia di dalam dan luar negara sedia ada.
“Ini tentu sekali, antara lain akan menggunakan kelebihan teknologi dan trend terkini seperti penggunaan promosi serta pengiklanan digital secara dalam talian, hibrid dan menggunakan platform media sosial,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pegawai Tourism Malaysia di luar negara turut boleh membuat promosi di negara berhampiran dengan kedudukan pejabat mereka sedia ada.









