KUALA LUMPUR: Sebanyak 21,397 permohonan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) telah didaftarkan di bawah Akta Perniagaan 1956 dalam tempoh 1 Januari sehingga 31 Oktober lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan rekod yang dicatat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu, pihaknya masih membuka peluang kepada golongan B40 serta pelajar institut pengajian tinggi untuk mendaftarkan perniagaan mereka di bawah skim tersebut.
“Berdasarkan rekod SSM, sebanyak 21,397 permohonan SPPP telah didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dalam tempoh 1 Januari sehingga 31 Oktober 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15,053 permohonan adalah daripada golongan B40 dan 6,344 permohonan diterima daripada pelajar institusi pengajian tinggi sepenuh masa.
“Sebanyak 21,107 perniagaan milikan tunggal dan 290 perniagaan perkongsian telah didaftarkan melalui SPPP dalam tempoh tersebut.
“SSM masih lagi membuka peluang serta menyasarkan lebih 100,000 pendaftaran baharu melalui skim ini untuk merancakkan lagi fasa pemulihan ekonomi negara akibat daripada kemelesetan pendapatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang dirancangkan oleh kerajaan di dalam Bajet 2022,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Cha Kee Chin (DAP-Rasah) meminta kementerian menjelaskan apakah inisiatif SSM untuk membantu golongan B40 dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk memulakan semula perniagaan mereka.
Menurut Alexander, SPPP diwujudkan bertujuan membantu golongan B40 yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 bagi membantu kelangsungan hidup golongan itu dengan menceburi bidang perniagaan di samping menjana sumber pendapatan alternatif kepada penggajian terutamanya apabila hilang pekerjaan.
Jelasnya, skim itu turut memberikan tumpuan kepada pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi untuk mendaftarkan perniagaan dan memudahcara mereka menerokai bidang perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan melalui pengecualian fi pendaftaran.










