SEREMBAN: Suspek kes letupan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki yang berusia 62 tahun di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin di Zon Merah, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) pagi tadi bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seorang lelaki yang diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya yang terlibat dalam kejadian letupan di Nilai di sini telah ditahan.
Lelaki itu ditangkap Batang Benar, Nilai di sini petang semalam hasil risikan dan maklumat awam.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mengalami kesan kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat kejadian letupan berkenaan.
“Suspek berada dalam keadaan lemah ketika ditahan dan telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan
Alzafny berkata, sebuah motosikal serta beberapa objek disyaki bahan letupan buatan sendiri (IED) turut dirampas di lokasi tangkapan. – UTUSAN










