[PARLIMEN] Prestasi Petronas tidak pernah dirahsiakan - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Prestasi Petronas tidak pernah dirahsiakan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dakwaan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merahsiakan prestasi kewangannya adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Petronas sentiasa mengutamakan ketelusan dalam pengurusannya dan menyediakan maklumat tersebut menerusi laman sesawangnya.

Petronas tidak merahsiakan prestasi kewangan, Petronas telah membudayakan akauntabiliti sebagai amalan syarikat dengan pelaporan kerap mengenai pekembangan dan pencapaian syarikat khususnya prestasi kewangan setiap suku tahun dan tahunan di laman sesawang.

Laman sesawang itu boleh diakses oleh orang awam walaupun Petronas tidak disenaraikan di bursa saham.

“Di samping itu, Petronas mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media pada setiap suku tahun dan juga taklimat kepada media pada setiap separuh tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mustapa, sebagai entiti komersial yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965, Petronas sentiasa mengamalkan aspek tadbir urus korporat yang baik di bawah teraju Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang berkaliber.

Petronas juga dibimbing oleh barisan Lembaga Pengarah Petronas terdiri daripada wakil wakil teknokrat, pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing dengan setiap kuputusan strategik yang diambil Petronas sentiasa dinilai dan diteliti.

Petronas juga merupakan syarikat tunggal dari Malaysia yang masih tersenarai dalam Fortune 500, di kedudukan nombor 277 pada tahun 2021.

Perkara itu berbangkit daripada Datuk Seri Madius Tangau [Tuaran-UPKO) yang mempersoalkan mengapa laporan prestasi kewangan Petronas melalui laporan tahunan dirahsiakan dan tidak dilaporkan kepada Parlimen sejak dari mula beroperasi hingga sekarang.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN