[PARLIMEN] Kerajaan tidak gagal, usaha turunkan harga ayam masih diteruskan - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Kerajaan tidak gagal, usaha turunkan harga ayam masih diteruskan

HARGA ayam dijangka mengalami kenaikan bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun harga runcit ayam masih tidak dapat diturunkan, namun kerajaan meneruskan usaha untuk mengurangkan harga kos operasi.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana golongan penternak mempunyai beberapa masalah khususnya membabitkan kos operasi, sekali gus pihaknya kini telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan untuk memberi pinjaman mudah (soft loan) sebagai langkah penyelesaian.

Dengan itu, jelas Alexander, beliau berharap harga runcit ayam akan dapat diturunkan apabila harga kos operasi dapat dikurangkan.

“Kita mungkin tidak sampai lagi kepada tahap yang sangat memuaskan, tetapi kita buat usaha. Tadi saya jelaskan yang mungkin terbaik adalah kita membantu pengusaha, penternak, dalam erti kata menangani masalah kenaikan kos operasi mereka.

“Ini telah kita majukan kepada Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Kita pun sudah buat sesi libat urus, jadi kita harap Kementerian Kewangan dapat memberi ‘soft loan’ kepada mereka. Sebab persatuan penternak tidak bersetuju untuk barang makanan yang diimport itu diberi subsidi. Bukan hanya harga makanan, tetapi kos-kos operasi yang lain sudah meningkat dan juga mereka berdepan dengan masalah buruh asing yang berkurangan jadi menjejaskan operasi.

“Soft loan ini yang terbaiknya akan menurunkan kos operasi mereka dan diharapkan juga itu menjadi pokok pangkal penurunan beberapa paras nanti untuk harga di peringkat pemborong dan juga kita harapkan di peringkat peruncit,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta kerajaan menyatakan adakah boleh disifatkan kerajaan hari ini gagal kerana tidak berjaya menurunkan harga runcit ayam berbanding semasa zaman pentadbiran Pakatan Harapan, harga ayam mampu mencecah sehingga RM5.90 sekilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN