KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akui sekatan dan kempen antiminyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) memberi impak negatif kepada persepsi dalam kalangan pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan terus memantau sebarang perkembangan terkini bagi perundangan atau peraturan lain yang sedang digubal oleh pihak EU yang dilihat akan memberi kesan kepada industri sawit negara.
“Kerajaan sentiasa komited dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam mempertahankan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara terutamanya kepada pekebun kecil,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) meminta kementerian itu menyatakan apakah status semasa sekatan dan kempen antiminyak kelapa sawit oleh EU terhadap minyak sawit Malaysia dan jumlah terkini eksport minyak kelapa sawit negara serta kemampuan negara dalam menampung keperluan di pasaran.
Menjawab soalan seterusnya, Zuraida menjelaskan berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, jumlah eksport minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 menurun sebanyak 1.04 juta tan atau 10.2 peratus kepada 9.15 juta tan berbanding 10.19 juta tan pada tempoh yang sama pada 2020.
Namun begitu, nilai eksport minyak sawit bagi tempoh yang sama meningkat sebanyak RM9.9 bilion (36.4 peratus) kepada RM37.37 bilion berbanding RM27.41 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, India merupakan pengimport terbesar iaitu sebanyak 1.90 juta tan (bernilai RM8.03 bilion), diikuti oleh China sebanyak 1.06 juta tan (RM3.77 bilion) dan Kesatuan Eropah sebanyak 0.95 juta tan (RM3.97 bilion).
“Malaysia mengeluarkan 13.31 juta tan minyak sawit mentah pada tempoh Januari hingga September 2021 dengan jumlah stok berada di paras 1.75 juta tan pada September 2021.
“Permintaan dunia kepada minyak sayuran termasuklah minyak sawit dijangka akan terus meningkat seiring dengan peningkatan populasi dunia. Sebagai industri berorientasikan eksport, pengeluaran Malaysia dilihat mampu menampung permintaan minyak sawit khususnya bagi negara-negara pengimportnya,” katanya.










