PETALING JAYA: Kerja-kerja pembaikan bagi paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) telah selesai pada 12.30 tengah malam tadi.
Air Selangor memaklumkan, bekalan air mula disalurkan secara berperingkat pada 4.30 pagi ini kepada pengguna di 13 kawasan terjejas setelah paras kolam air agihan distabilkan dan kualiti air mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan.
“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 12.30 tengah malam esok (11 November),” katanya dalam kenyataan.
Terdapat 13 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Pandan Mewah dan Taman Mestika.
Air Selangor juga menjelaskan, tempoh pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Air Selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE