Nur Fatihah bakal isteri Usop Mentor - Utusan Malaysia

Nur Fatihah bakal isteri Usop Mentor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selamat mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan hati, penyanyi dan Naib Juara program pencarian bakat Mentor Milenia 2017 dan Big Stage 2020, Usop, 24, melahirkan rasa syukur dan lega kerana segala perancangannya dan keluarga berjalan lancar.

Menurut penyanyi dengan nama sebenarnya, Muhammad Saiful Naim Mohd Noor, dia memilih untuk serius dengan wanita istimewa bernama Nur Fatihah Md Hashim, 25, setelah mengenalinya tiga tahun lalu.

“Saya mula tertarik untuk berkenalan lebih lanjut dengan Fatihah setelah terserempak dengannya di sebuah majlis rumah terbuka sekitar tiga tahun lalu. Kemudian cuba meminta nombor telefonnya daripada seorang sahabat.

“Mulanya nak kenal sebagai kawan biasa sahaja, tetapi sudah namanya jodoh tak salah alamat. Walaupun pada mulanya dia agak jual mahal dengan saya, tetapi siapa sangka, akhirnya setelah mencuba juga untuk berkenalan, akhirnya kami kini sudah selamat bergelar tunangan,”katanya.

Usop berkata demikian dalam satu sidang media secara virtual yang diadakan selepas majlis pertunangannya selesai pada hari ini.

Terdahulu, majlis pertunangan Usop itu telah diadakan secara tertutup di Dewan Desa Murni, Taman Desa Murni Sungai Dua, Pulau Pinang dan telah dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang ditetapkan kerajaan.

Majlis menyaksikan hantaran tujuh dulnh dari pihak perempuan dan berbalas lima dulang dari pihak lelaki dan disempurnakan mengikut adat Melayu oleh kedua-dua belah pihak.

Selain itu, berkongsi lanjut kata Usop,kedua-dua belah keluarga bersetuju untuk mengikat pertunangan ini selama dua bulan sebelum melangkah ke fasa pernikahan yang mengikut perancangan akan diadakan sekitar Februari tahun depan.

“InsyaAllah majlis pernikahan nanti akan diadakan secara tertutup. Hanya akan jemput keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja di Pulau Pinang. Ini kerana kami juga pasti keadaan semasa menyebabkan majlis besar-besaran belum boleh dibuat dan akur dengan pematuhan SOP.

“Tentulah sebagai bakal pasangan pengantin, kami berdua inginkan sebuah majlis perkahwinan idaman, tetapi kita kena tengok pada situasi semasa.

“Siapalah yang tidak teringin. Kalau ada yang nak menaja pun, InsyaAllah kami alu-alukan,”katanya.

Untuk info, tunang Usop merupakan seorang kakitangan bahagian pentadbiran dan perniagaan di sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya