NGO mampu main peranan jatuhkan kerajaan menipu, mencuri, menyamun - Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

NGO mampu main peranan jatuhkan kerajaan menipu, mencuri, menyamun – Dr. Mahathir

MAHATHIR Mohamad pada Majlis Dialog NGO Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/SITI AISYAH SUKAIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menuntut supaya bebas bersuara serta bertanggungjawab membuat teguran terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan membelakangi undang-undang di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hal ini kerana NGO memainkan peranan besar memperbetulkan sesuatu perkara, malah mereka turut berpengaruh dalam menaikkan atau menjatuhkan sesebuah kerajaan.

“NGO perlu tuntut supaya mereka bebas bersuara. Janganlah setelah mereka bersuara, kemudian dipanggil polis dan disoal kerana ini juga merupakan satu tekanan kepada mereka.

“Mereka perlu bebas dan kalau NGO bebas, banyaklah yang boleh dilakukan NGO untuk memperbaiki keadaan di dalam negara,” katanya pada Majlis Dialog NGO Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, NGO mempunyai peranan dalam memastikan negara ditadbir dengan baik, malah suara mereka boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya seterusnya pemilihan kerajaan yang diundi oleh rakyat.

“Orang politik perlu dengar suara NGO kerana mereka boleh mempengaruhi keputusan dalam pilihan raya, dengan hujah mereka, dengan undi yang ada kepada mereka, dengan pengaruh mereka, NGO boleh memainkan peranan untuk memperbetulkan (perkara) yang tidak betul.

“Menaikkan kerajaan yang berwibawa, adil dan baik serta menjatuhkan kerajaan yang menipu, mencuri, menyamun dan sebagainya. Itulah peranan NGO,” katanya.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, menerusi sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, terdapat tiga kuasa penting iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Ada satu masa dikenali sebagai kuasa keempat iaitu akhbar yang turut memainkan peranan. Selain itu, NGO menjadi kelima yang berkuasa supaya negara ini ditabir dengan baik. NGO boleh membuat sesuatu untuk menentukan negara ditadbir dengan baik.

“Kita ada lima kuasa dalam negara demokrasi dan kalau kelima-lima ini menjalankan tugas dengan baik, nescaya negara akan jadi maju dan dapat dibangunkan supaya setaraf dengan negara maju di seluruh dunia.

“Tetapi kalau mana-mana lima kuasa tidak memainkan peranan dengan baik, maka akan hancur negara. Itulah sebabnya NGO penting dan saya harap serta berdoa, di Malaysia ini NGO tidak akan teragak-agak tegur di mana kesalahan dilakukan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya