BUTTERWORTH: Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, yang cedera dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Selasa lalu belum mengetahui rakannya, Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, meninggal dunia dalam tragedi tersebut.
Bapa Mohd. Fareez, Omar Deros, 62, berkata, dia langsung tidak menyentuh perkara itu ketika bertemu anaknya di Hospital Seberang Jaya (HSJ), kelmarin.
“Dia pun masih sakit. Mungkin kita tunggu dia sihat sikit barulah beritahu perkara itu kerana bimbang kesihatannya terganggu,” katanya yang juga bekas anggota TUDM berpangkat mejar ketika dihubungi di sini semalam.
Nahas yang berlaku pukul 10 malam dalam kawasan Pangkalan Udara TUDM Butterworth itu mengorbankan Mohamad Affendi walaupun kedua-dua mangsa dikatakan sempat keluar daripada pesawat menggunakan kerusi anjal.
Mohd. Fareez dikejarkan ke HSJ dan berada dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, Omar bersyukur kerana Mohd. Fareez selamat menjalani satu pembedahan malam kelmarin selepas mengalami kecederaan di pinggang dan tulang belakang.
Katanya, Mohd. Fareez yang merupakan anak kedua daripada lima beradik dan sudah berkahwin kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ untuk pemantauan serta pemerhatian pasukan doktor.
“Tengah hari semalam (kelmarin) saya berpeluang berjumpa Fareez (di ICU HSJ) dan ketika itu, dia berada dalam keadaan stabil, namun masih lemah,” katanya.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pesawat Hawk 108 akan dibenarkan terbang semula sekiranya hasil siasatan Lembaga Siasatan Khas berhubung insiden tersebut tidak melibatkan kerosakan teknikal.
Menurut beliau, laporan penuh perlu disiapkan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kejadian manakala siasatan awal mesti dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
“Sekiranya pasukan lembaga siasatan berpuas hati punca kemalangan tidak melibatkan kerosakan teknikal melalui pemeriksaan awal terhadap bukti dan keterangan saksi, mereka boleh mencadangkan kepada Panglima Tentera Udara untuk membenarkan pesawat jenis itu terbang seperti biasa tanpa menunggu laporan akhir siasatan,” katanya.










