Mushtari kumpul koleksi James Bond sejak 40 tahun

Mushtari kumpul koleksi James Bond sejak 40 tahun

MUSHTARI Mohamad (kanan) bersama Wong Koi Kam menunjukkan pelbagai jenis koleksi dari filem James Bond di Galeri Seni Piring Hitam, Taman Sena, Kangar, Perlis. – FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Minat dan keterujaan terhadap filem James Bond membuatkan seorang ejen insurans tidak kisah berhabisan sehingga puluhan ribu ringgit bagi mengumpul pelbagai koleksi berkaitan filem francais berkenaan.

Setakat ini, Mushtari Moha­mad, 49, telah membelanjakan lebih RM25,000 bagi memiliki koleksi berkaitan seperti piring hitam, majalah, replika kereta, helikopter Blu-Ray dan cakera video digital (DVD).

Jelas pemilik Galeri Seni Pi­ring Hitam di Taman Sena di sini itu, minat terhadap francais filem yang berkisar mengenai seorang perisik Inggeris dikenali sebagai ejen 007 itu bermula daripada pengaruh arwah ba­pa­nya, Mohamad Salim.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, dia kini mempunyai kira-kira 200 koleksi daripada 24 filem dari francais tersebut yang mula dikumpul kira-kira 40 tahun lalu semasa masih kanak-kanak.

Menurutnya, replika helikopter jenis Corgi sempena filem For Your Eyes Only yang dibeli pada 1982 berharga RM13 merupakan antara koleksi pertama dan kini dipamerkan di galeri miliknya yang ditubuhkan sejak 2010.

“Sebenarnya, tidak susah un­tuk mendapatkan barangan James Bond ini dan ia bergantung kepada kemampuan dan minat kita sendiri. Kebanyakan koleksi adalah dari segi Blu-Ray, DVD, piring hitam, majalah dan replika kereta yang boleh dibeli melalui Facebook, eBay dan Amazon.

“Adalah menjadi kepuasan apabila dapat membeli bara­ngan tersebut kerana ia menjadi minat saya sejak kecil lagi. Saya masih ingat lagi kenangan buat pertama kalinya menonton filem A View To A Kill bersama arwah ayah di panggung Capitol di sini pada 1983 ketika saya berusia 13 tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mushtari yang meminati lakonan Roger Moore sebagai James Bond dalam filem tersebut berkata, keluarganya sentiasa memberi sokongan dan memahami hobinya itu.

Sementara itu, rakannya, Wong Koi Kam, 61, yang turut berkongsi minat sama berkata, dia kini sedang berjinak-jinak untuk mengumpul model kapal terbang plastik dan model kereta Aston Martin yang sinonim dengan filem itu.

“Bila saya melihat koleksi James Bond milik Mushtari saya pun berminat untuk mempunyai koleksi sendiri berkaitan filem tersebut.

“Selama ini, memang saya mempunyai koleksi model kapal terbang tetapi kini saya mahu ada lebih banyak lagi yang berkaitan filem tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×