Mohammadin Ketapi keluar Warisan, kini sah ahli Bersatu - Utusan Malaysia

Mohammadin Ketapi keluar Warisan, kini sah ahli Bersatu

MOHAMMADIN Ketapi menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Hamzah Zainudin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi yang sebelum ini mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) diperakui dan diterima untuk menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, penerimaan Mohammadin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu diputuskan menerusi menyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, semalam.

“Mesyuarat Khas MPT Bersatu memperakukan dan menerima permohonan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga ADUN Segama, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai ahli Bersatu yang baharu.

“Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, malah ia juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” katanya.

Berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021 pula, jelasnya, Bersatu memutuskan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi pilihan raya itu.

Ini katanya, sekali gus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau, MPT turut membincangkan analisis keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu dan keputusan tersebut membuktikan PN adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan yang kukuh dalam kalangan pengundi PRN Melaka.

“Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen Perikatan Nasional yang lain iaitu Pas dan Gerakan.

“Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap Perikatan Nasional dan parti-parti komponennya. Susulan itu, Bersatu telah mengenal pasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya