KOTA BHARU: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan sebaik-baik perjanjian politik yang termeterai sejak berpuluh tahun di negara ini adalah Muafakat Nasional (MN).
Kata Nik Mohamad Abduh, perjanjian dimeterai di Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) itu perjanjian yang diberkati Allah SWT apabila serta-merta diiringi kurniaan hujanan air mata rakyat di seluruh negara.
MN kata beliau, menyatukan dua kumpulan besar umat Islam yang bertelagah sejak puluhan tahun, meruntuhkan segala marak kemarahan dan dendam, lalu terbina di atasnya rahmat dan kasih sayang sesama umat.
“Pas boleh bertahan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) selama lebih tujuh tahun demi bersama menentang ketidakadilan kerajaan Barisan Nasional (BN) masa itu.
“Maka tidak malukah kita pada Allah, jika tidak mahu malu pada diri sendiri dan pada rakyat, dengan membiarkan api kepanasan mara dan marak sesama pemimpin yang boleh menyebabkan MN runtuh dalam tempoh singkat?
“Gembirakah kita untuk kembali menukarkan air mata kasih sayang dan kegembiraan kepada kebencian, dendam dan berburuk sangka sesama umat?” Soal beliau dalam catatan terkini di akaun Facebook miliknya sebentar tadi.
Nik Mohamad Abduh mengakhiri catatan itu dengan sepotong ayat dipetik dari al-Quran yang berbunyi: “Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakan segala perjanjian kamu.”
“Bukan diri saya namanya jika tidak bersedia memadamkan segala kebodohan ini,” tambah beliau.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan mengumumkan sama ada Pas akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) atau MN dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Takiyuddin ketika ditanyakan hal demikian sekadar mengulangi skrip lama iaitu Pas sentiasa mengkaji kemungkinan namun agenda penyatuan ummah kekal sebagai perkara pokok.
Selepas pertembungan dengan BN yang bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, akar umbi Pas dilaporkan mahu parti itu kekal bersama UMNO dalam MN, bukan terus bersekongkol dengan Bersatu dalam PN. – UTUSAN











