KUALA NERUS: Status Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku kelab terbaik di negara ini tidak menggerunkan Terengganu apabila kedua-dua pasukan berentap pada separuh akhir pertama Piala Malaysia malam ini.
Sebaliknya, Jordan Mintah berkata, dia tidak sabar untuk membuktikan kemampuan berdepan gergasi tanah air itu buat kali pertama sejak beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).
“Cabaran bertemu pasukan terbaik sentiasa dinantikan dan sebagai penyerang, saya bersedia berdepan dengan mana-mana pertahanan.
“Terengganu sudah bekerja keras untuk mara sejauh ini dalam saingan Piala Malaysia, jadi kami tidak akan berhenti selagi misi ke perlawanan akhir dan bergelar juara tidak tercapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mintah yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana yakin skuad Sang Penyu mampu meneruskan rentak cemerlang sekali gus menyifatkan sentuhan jaringannya hadir pada masa yang tepat selepas meledak empat gol termasuk dua ketika mengatasi Sarawak United di suku akhir.
“Saya gembira dengan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini dan yang paling mustahak ialah kemenangan pasukan Terengganu, tanpa mengira siapa penjaring gol.
“Saya mohon sokongan padu pemain ke-12 kita iaitu penyokong bagi membolehkan skuad Penyu menghadiahkan kemenangan kepada mereka,” katanya.