IPOH: Empat individu termasuk dua pensyarah direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek penyelidikan bernilai RM5 juta.
Perintah reman dikeluarkan Majistret S. Punitha ke atas tiga suspek lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.05 pagi sebelum dibawa keluar pukul 11.42 pagi.
Kelmarin, suspek yang terdiri daripada dua pensyarah, seorang pegawai syarikat berkaitan minyak dan seorang pengarah syarikat kejuruteraan ditahan antara pukul 2 hingga 5 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak.
Keempat-empat mereka ditahan bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM5 juta daripada beberapa syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek penyelidikan.
Mereka juga disiasat berhubung penyelewengan dana penyelidikan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Siasatan awal mendapati, kegiatan itu dipercayai berlaku antara 2019 hingga 2025 di mana pegawai dan pengarah syarikat dijadikan proksi kepada kedua-dua pensyarah untuk menerima rasuah.
Selain tangkapan tersebut, SPRM turut membekukan 70 akaun bank bernilai kira-kira RM8.5 juta dan menyita tujuh buah kenderaan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, sumber memberitahu sesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut dan kedua-dua pensyarah yang telah berkhidmat selama tiga dan 11 tahun itu telah menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing.
Anggaran nilai projek-projek penyelidikan yang terlibat ialah kira-kira RM13 juta dan syarikat-syarikat terlibat dipercayai milik saudara salah seorang pensyarah terbabit dan juga kenalan. – UTUSAN










