'Mereka berkorban nyawa demi selamatkan saya' - Utusan Malaysia

‘Mereka berkorban nyawa demi selamatkan saya’

JENAZAH Abdul Rahman Ramli dan Ahmad Asymuni Idris dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Padang Langgar, Kerunai dekat Gerik, Perak, tengah hari tadi. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: “Pusaran air menarik saya sehingga rebah dan hanyut ke dasar sungai. Saya tidak sangka anak-anak dan menantu sanggup terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan saya sehingga mereka terkorban.”

Itu kata Hamidah Jidin, 64, wanita yang kehilangan anak dan menantunya yang mati lemas ketika cuba menyelamatkannya semasa mereka beriadah di kawasan Air Sungai Beruk, Kampung Padang Stang di sini, petang semalam.

Kejadian pada kira-kira pukul 3.30 petang itu menyebabkan Hamidah kehilangan anak bongsunya, Abdul Rahman Ramli, 26, dan menantunya, Ahmad Asymuni Idris, 42,

ABDUL RAHMAN RAMLI dan AHMAD ASYMUNI IDRIS.

Hamidah berkata, sudah empat tahun mereka tidak ke tempat itu tetapi kerana anak-anak, cucu-cucu dan menantunya balik kampung, mereka beriadah di kawasan tersebut.

Menurutnya, sebelum kejadian dia hanya berada di gigi sungai sambil mengawal cucu-cucunya supaya tidak turun ke dalam sungai.

“Saya bimbang cucu-cucu hendak turun ke dalam air dan cuba mengawal mereka kerana keadaan air agak deras ketika itu.

“Tiba-tiba saya terasa seperti pusaran air menarik ke belakang menyebabkan saya rebah dan hanyut ke dasar sungai. Saya tidak sangka anak-anak dan menantu sanggup terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan saya, sehinggakan mereka sendiri terkorban.

“Saya reda atau apa yang berlaku, ini ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, isteri Ahmad Asymuni , Norazlina Ramli, 43, berkata, kejadian berlaku apabila suaminya cuba menyelamatkan adik iparnya, Abdul Rahman yang lemas setelah berjaya menyelamatkan ibu mereka.

Katanya, ibunya yang mengawal cucu-cucunya menghampiri tebing sungai, tiba-tiba kelihatan lemas di dasar sungai.

“Ini menyebabkan adik bongsu, Abdul Rahman dan seorang lagi adik, Mohd. Faizal Ramli, 35, terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan ibu.

“Ibu diselamatkan oleh Ahmad Faizal namun malangnya Abdul Rahman lemas di pusaran air sungai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Stang, hari ini.

Sementara itu, jenazah Abdul Rahman dan Ahmad Asymuni dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Padang Langgar, Kerunai dekat sini tengah hari tadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya