KUCHING: Mayat tidak sempurna seorang remaja lelaki, yang dipercayai lemas dan dibaham buaya ketika terjun ke dalam sungai Batang Paloh dekat Tanjung Manis, Sarikei pada malam kelmarin ditemukan pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat Alex Rody Rao Anak Ali, 17, ditemukan orang awam kira-kira pukul 9.30 pagi oleh orang awam yang turut serta dalam operasi mencari dan penyelamat (SAR) pada jarak dua kilometer dari lokasi kali terakhir mangsa kelihatan.
Bagaimanapun menurut jurucakap itu, mayat berkenaan ditemukan tidak sempurna, iaitu tangan sehingga ke pinggangnya dipercayai dibaham buaya.
Pasukan bomba mengambil mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindalkan selanjutnya.
Menurut kronologi kejadian, pada pukul 10.05 malam, Khamis lalu, mangsa bersama dua rakannya sedang duduk di atas wharf dan secara tiba-tiba tanpa menyatakan apa-apa, mangsa (Alex) membuka bajunya dan terus terjun ke dalam sungai.
Setelah menunggu lebih kurang tiga minit, rakan-rakannya terjun ke dalam sungai untuk mencari mangsa yang tidak timbul, namun tidak menjumpainya.
Rakan mangsa terus memaklum kepada penduduk rumah panjang tentang kejadian tersebut dan melaporkan kepada pihak polis dan JBPM untuk mendapatkan bantuan menyelamatkan mangsa.










