Masalah kekurangan pekerja restoran nasi kandar belum diatasi - Utusan Malaysia

Masalah kekurangan pekerja restoran nasi kandar belum diatasi

PENGUSAHA restoran nasi kandar di Pulau Pinang mendesak kerajaan menyegerakan kebenaran membawa masuk pekerja asing bagi melancarkan operasi perniagaan mereka yang terjejas ekoran kekurangan pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Selain industri perhotelan di negeri ini yang berdepan masalah kekurangan tenaga pekerja, industri makanan khususnya di restoran-restoran nasi kandar turut dibelenggu masalah sama sejak beberapa bulan lalu.

Jumlah pengunjung dari luar Pulau Pinang yang meningkat menyebabkan restoran-restoran nasi kandar terus diserbu pelancong, namun masalah kekurangan tenaga kerja yang sehingga kini belum dapat diselesaikan menggusarkan para pemilik restoran.

Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, pihaknya pernah menyuarakan isu sama namun belum terdapat jalan penyelesaian daripada kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, pihaknya berharap kerajaan dapat membantu mempercepat urusan kemasukan semula pekerja asing dalam sektor makanan bagi membolehkan industri tersebut kembali beroperasi seperti biasa.

“Pemilik restoran nasi kandar setiap hari menanti berita sama ada mereka sudah boleh memohon pekerja asing.

“Kekurangan tenaga pekerja semakin meruncing terutama menjelang cuti hujung minggu dan dijangka memuncak ketika bulan depan yang mana cuti persekolahan serta cuti perayaan bermula,” katanya di sini, semalam.

Menurut Mohamed Rizdwan, pada masa ini pekerja sedia ada tidak mampu menampung jumlah kedatangan pengunjung untuk menjamu selera di restoran nasi kandar.

“Pada masa ini seorang pekerja di restoran nasi kandar perlu melakukan sekurang-kurangnya tiga tugas lain kerana masalah kekurangan pekerja.

“Ini mengakibatkan kepantasan dan kecekapan di bahagian penyediaan makanan terganggu serta menyebabkan pelanggan terpaksa beratur dan menunggu lebih lama,” katanya.

Tambah beliau, para pengusaha restoran nasi kandar juga telah cuba mendapatkan khidmat pekerja tempatan sejak Oktober lalu dengan mengiklankan kerja kosong di restoran masing-masing.

“Namun, tiada pekerja tempatan yang berminat untuk bertugas di restoran nasi kandar ini.

“Ini kerana banyak maklum balas yang saya terima daripada pengusaha restoran yang tiada pekerja tempatan datang untuk temuduga sejak Oktober lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×