Mangsa banjir positif Covid-19 dipindahkan di PKRC - Utusan Malaysia

Mangsa banjir positif Covid-19 dipindahkan di PKRC

PENGGUNA jalan raya terpaksa meredah air dalam kejadian banjir di Pokok Sena, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Mangsa banjir di negeri ini yang positif Covid-19 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi mengelakkan mereka bercampur bersama mangsa banjir lain di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, manga banjir yang berstatus kontak rapat juga turut ditempatkan di PPS.

Katanya, setiap mereka yang ditempatkan di PPS diperiksa terlebih dulu oleh pasukan perubatan.

“Langkah ini bagi memastikan kita dapat mengawal penularan Covid-19 di negeri ini ketika menghadapi bencana banjir yang  berlaku kebelakangan ini.

“Setakat ini di Kedah, masih tiada kes jangkitan melibatkan penularan di PPS dikesan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ini terdapat dua PKRC di Kedah iaitu  di Dewan Wawasan Jitra dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Kulim.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad memaklumkan, beliau menerima maklumat terdapat dua keluarga yang menjalani kuarantin menjadi mangsa  banjir kilat.

“Setakat ini saya difahamkan mereka masih berada di rumah di Kampung Paya Nongmi kerana air kian surut. Namun kita masih tetap mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya hujan kembali lebat.

“Jika mereka perlu dipindahkan, individu yang positif akan ditempatkan di PKRC Dewan Wawasan di Jitra manakala untuk mereka yang berstatus kontak rapat, kami akan sediakan PPS khas buat mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN