KUALA LUMPUR: Malaysia disenaraikan sebagai pengeksport keenam terbesar bagi produk kayu perabot dan mempunyai potensi untuk maju ke hadapan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sektor eksport perabot kayu sudah mencapai 14 peratus lebih dari nilai sasaran RM12.5 bilion.
“Sektor perkayuan dan perabot kayu Malaysia berpotensi kerana negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Eropah lebih suka membeli perabot Malaysia kerana kualiti, hasil kerja dan kualiti kerja kita adalah sangat tinggi.
“Pada tahun lepas, nilai eksport sebanyak RM12.3 bilion bagi produk perabot, kayu kumai dan kayu tanggam di seluruh dunia.
“Oleh kerana itu, kementerian melihat industri perkayuan dan perabot kayu Malaysia berpotensi untuk berkembang jauh,” katanya dalam majlis pelancaran program Inkubator Reka Bentuk TIMB3R (TIMB3R DIP) dan Hackathon Reimagine.Redesign.Remix di sini hari ini.
Tambah beliau, pada tahun depan, kementerian menyasarkan nilai eksport perabot akan meningkat dua kali ganda dan juga teroka pasaran baharu di Asia Tengah, China, India, Asia Barat, Australia dan New Zealand.
“Dengan sokongan pengurusan yang lebih cekap, tenaga kerja dan kewangan atau dana, kita akan dapat meningkatkan pendapatan hasil dari industri kayu ini.
“Program ini dapat menggalakkan kerjasama antara pengusaha industri berasaskan kayu (IBK) dengan pereka atau arkitek untuk menghasilkan produk kayu bernilai tinggi buatan Malaysia di pasaran antarabangsa.
“Kementerian sentiasa menyokong usaha berterusan meningkatkan nilai tambah produk perkayuan dan berharap program seperti ini dapat memberi manfaat kepada industri dalam menghasilkan produk perkayuan yang berkualiti dan mutu tinggi di pasaran tempatan serta antarabangsa,” jelasnya.










