Malaysia bersedia jadi hab RDC Asia Pasifik - Utusan Malaysia

Malaysia bersedia jadi hab RDC Asia Pasifik

Wee Ka Siong menyempurnakan pelancaran Cainiao Aeropolis eWTP di Sepang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Malaysia bersedia untuk menjadi hab pusat pengedaran serantau (RDC) dan e-dagang logistik untuk Asia Pasifik menerusi pengoperasian hab Cainiao Aeropolis eWTP Malaysia yang sudah dimulakan sejak November tahun lalu.

Cainiao Aeropolis eWTP Malaysia yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini bakal menjadi pemain perubahan kepada negara di samping manfaatnya yang besar seperti lokasi strategik di dalam zon kemersial bebas.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, e-dagang dilihat semakin berkembang terutama sewaktu pandemik Covid-19 dan ia memainkan peranan dalam peningkatan jumlah kargo.

“Justeru dengan adanya hab Cainiao Aeropolis eWTP Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kerajaan bersama Malaysia Airport berjaya meletakkan lapangan terbang ini sebagai RDC e-dagang yang dipelopori oleh kumpulan Alibaba.

“Kami yakin hab eWTP ini juga akan memenuhi aspirasi Rancangan Malaysia ke-12 sebagai hab yang cekap dan penerimaan pendigitalan yang akan meningkatkan daya saing pengangkutan kami serta sektor logistik,” katanya pada pelancaran Cainiao Aeropolis eWTP Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Malaysia Airports merekodkan kira-kira 726,800 tan metrik bagi jumlah keseluruhan operasi kargo iaitu meningkat 24 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

“Bagi bulan September tahun ini, keseluruhan rangkaian Malaysia Airports mencatatkan peningkatan 24 peratus bulan ke bulan dengan jumlah keseluruhan kira-kira 86,200 tan metrik.

“Dalam tempoh dua tahun yang lalu, kita juga menerima tiga syarikat penerbangan kargo baharu dan 10 lagi yang lain telah meningkat dari segi kekerapan atau penambahan destinasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Iskandar Mizal berkata, unjuran pertumbuhan kargo dalam tempoh 10 tahun akan datang akan bertambah menjadi 600,000 tan metrik setahun dan ini akan menggandakan lagi jumlah kargo di KLIA kepada 1.3 tan metrik setahun.

Ujarnya lagi, pertumbuhan ini akan menjana lebih banyak kargo merangkumi udara, laut dan darat untuk perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN