Permotoran ubah landskap industri pelancongan Melaka

Permotoran ubah landskap industri pelancongan Melaka

AB RAUF menunggang Yamaha RXZ sebagai simbol sokongan kepada komuniti permotoran tanah air sempena Majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 di Dataran MITC, Ayer Keroh, malam tadi. - UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sambutan luar biasa program RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 mengubah lanskap pelancongan negeri kini yang kini melangkaui tarikan warisan, sebaliknya berkembang pesat sebagai destinasi penganjuran acara berskala besar serta berimpak tinggi.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, program edisi ketiga itu berjaya menghimpunkan lebih 20,000 motosikal dan kira-kira 70,000 pengunjung menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan berbanding tahun lalu yang mencatatkan sekitar 50,000 kehadiran, sekali gus memperlihatkan tarikan Melaka dalam kalangan komuniti permotoran.

“Penganjuran ini membawa kesan langsung kepada ekonomi negeri apabila sektor perhotelan, inap desa, makanan dan perniagaan kecil menikmati lonjakan permintaan sepanjang acara berlangsung.

“Keadaan ini membuktikan program komuniti seperti RXZ Members Ride mampu menjadi pemacu ekonomi rakyat, bukan sekadar acara hiburan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025, malam tadi.

Menurut beliau, kadar penginapan di hotel dan inap desa direkodkan hampir penuh termasuk di kawasan luar bandar, manakala peniaga makanan serta penjaja kecil turut menikmati peningkatan jualan yang ketara.

“Penganjuran RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 turut menyokong agenda Visit Melaka Year 2.0 dan Visit Malaysia Year 2026 dalam usaha memperkukuh penjenamaan negeri sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya.

Tambahnya, pada tahun 2024, Melaka mencatatkan lebih 15 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan melebihi RM12.68 bilion dan sehingga Oktober 2025, lebih 14 juta pelancong telah direkodkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×