PETALING JAYA: Usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli meluahkan rasa terkilan apabila pengarah terkenal, Michael Ang didakwa ‘mengutuk’ dirinya susulan dengan lagu sulung yang bakal dikeluarkan, hari ini.
Menerusi entri Instagram, Iqbal memuat naik satu video pendek di Instastory yang memaparkan pengarah tersebut sedang membuat siaran langsung di platform berkenaan bersama jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida.
Dalam video tersebut, Michael didakwa telah menyatakan suaranya seperti ‘pondan pencen’ merujuk kepada tindakannya yang bakal mengeluarkan lagu pertamanya itu.
“Silakan sajalah selagi boleh memaki, maki sahaja cakap saya suara kepit macam pondan pencen dan kata saya babi.
“Tunggu sahajalah 1 November ini lagu Hujan saya keluar,” luahnya di Instagram.
Selain itu, dia juga menyelar semula komen yang ditinggalkan pengarah sensasi itu yang menyatakan tidak menjadikannya sebagai salah satu sumber ‘pemasaran sampah’ seperti didakwa.
“Siapa yang sebut nama siapa dulu sebenarnya? Dari awal bulan lepas lagi sebut nama saya, berhari-hari. Maki saya bertubi-tubi.
“Namun saya tidak menjawab kerana bagi saya dia hanya suka bercakap-cakap.
“Tiba waktunya saya menjawab fitnah dia, terus katakan jangan menggunakan nama dia untuk ‘marketing sampah’. Pening,” katanya di Instastory.
Sekadar informasi, lagu berjudul Hujan ciptaan anggota kumpulan Floor88 itu akan dikeluarkan pada hari ini.
Iqbal juga pernah memberitahu sebelum ini, lagu berkenaan adalah sebuah kisah perjalanan hidupnya.