Bekas CEO, pengerusi syarikat ditahan SPRM

Bekas CEO, pengerusi syarikat ditahan SPRM

ANTARA saksi yang memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  bagi membantu siasatan berhubung penjualan saham.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam kerana disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 hingga 2023.

“Siasatan awal turut mendapati urus niaga penjualan saham tersebut dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal sehingga menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta,” katanya di sini hari ini.

Sumber berkata, penggeledahan turut dilakukan di 13 lokasi utama oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM merangkumi agensi dan syarikat berkepentingan awam, premis pejabat dan kediaman individu-individu yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

“Selain itu, sebanyak 62 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang berkaitan telah dibekukan, melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Kes tersebut turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN