Serangan Ulu Tiram: Syafiq 'tumpas' dalam keadaan masih pegang senjata

Serangan Ulu Tiram: Syafiq ‘tumpas’ dalam keadaan masih pegang senjata

ANGGOTA polis yang ditembak di kepala dalam serangan di balai berkenaan dua tahun lalu ditemukan dalam keadaan memegang senjata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Balai Polis Ulu Tiram memberitahu bahawa anggota polis yang ditembak di kepala dalam serangan di balai berkenaan dua tahun lalu ditemukan dalam keadaan memegang senjata.

Saksi kedua pendakwaan, Inspektor Mohd Hisham Ezahar, 38, berkata, Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 22, ditemukan terbaring berdekatan kereta perisai berhadapan bangunan kaunter pertanyaan di balai polis itu dalam keadaan masih memegang senjata jenis HK MP5.

“Sementara itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pula ditemukan di tepi longkang antara bangunan kaunter pertanyaan dan berek polis. Saya lihat mukanya ada kesan koyakan seperti ditetak parang dan sudah meninggal dunia.

“Saya turut melihat mayat suspek (Radin Luqman) terbaring di sebelah jasad Muhammad Syafiq semasa proses pengecaman berkenaan,” katanya ketika memberi keterangan semasa hari kedua perbicaraan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim, saksi itu memberitahu beliau sedang berada di rumah sewanya di Jalan Bestari, Ulu Tiram selepas tamat tugasan.

“Pada pukul 2.30 pagi, saya menerima panggilan daripada Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh yang dalam keadaan cemas dan termengah-mengah memaklumkan seorang lelaki bertopeng memasuki kawasan balai dengan membawa parang.

“Saya kemudian mengarahkan anggota bertugas menghubungi pasukan rondaan cegah jenayah (RCJ) dan turut mengeluarkan arahan dalam kumpulan WhatsApp balai supaya semua anggota kembali ke balai,” katanya yang telah bertugas di balai berkenaan sejak 2023.

Tambahnya, beliau telah diminta oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri untuk kekal berada di balai sehingga pasukan forensik tiba pada pukul 8 pagi.

Mohd Hisham kemudian memberi maklumat berkaitan mangsa kepada pasukan forensik bagi membantu siasatan lanjut dan berada di balai berkenaan sehingga pukul 6 petang hari kejadian.

Semasa serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel polis iaitu Ahmad Azza, 22, dan Muhamad Syafiq, 24, terkorban manakala Mohd Hasif, 38, cedera ditembak dan mengalami kecederaan pada bahagian bahu kiri dan punggung selepas diserang suspek yang akhirnya ditembak mati dalam insiden terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN