KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedang merancang dan melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi di negeri ini di bawah Pelan Strategik MAIPs 2021-2025.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain projek pembangunan kampus tetap Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Sungai Chuchoh, Padang Besar, MAIPs turut memberi tumpuan kepada projek pembinaan Kompleks Pengurusan dan Asnaf MAIPs.
Baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs turut menggesa semua pihak terlibat agar memberikan fokus penuh bagi menjayakan dan melancarkan projek pembangunan tersebut.
“Selain itu, MAIPs turut merancang beberapa projek fizikal dan bukan fizikal lain melalui Dokumen Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 di bawah Pelan Strategik MAIPs 2021-2025.
“Rancangan tersebut melibatkan beberapa kluster seperti sosioekonomi asnaf, pendidikan, dakwah, penempatan, kesihatan dan pembangunan amil,” titah baginda selepas berkenan berangkat melawat bengkel syarikat batik Inderawasih di Kariah Perawah, Jalan Datuk Kayaman, di sini semalam.
Keberangkatan baginda disambut Pengusahanya, Mohd. Daud Ahmad Fuat dan Zarina Salleh.
Yang turut hadir, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor. – UTUSAN










