PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyampaikan sumbangan sebanyak 500 bakul makanan kepada penduduk kawasan Pasir Puteh yang terjejas, yang terdiri daripada orang awam, warga petani, penternak dan nelayan serta petugas barisan hadapan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh menyampaikan sumbangan sebanyak 500 bakul makanan kepada penduduk kawasan Pasir Puteh, Kelantan yang terjejas.
Menurut kenyataan kementerian berkenaan, penerima sumbangan MAFI Prihatin menerusi LPNM itu terdiri daripada orang awam, warga petani, penternak, nelayan dan petugas barisan hadapan.
Katanya, pelaksanaan Program Mafi Prihatin di bawah LPNM itu merupakan siri bantuan MAFI Prihatin yang dilaksanakan oleh LPNM dan semua agensi di bawah MAFI di seluruh negara.
“Antara barangan sumbangan di dalam kotak makanan yang disampaikan adalah beras, gula, tepung, minyak masak, susu pekat, biskut, bihun nanas tin serta jem nanas.
“Turut disumbangkan adalah buah nanas MD2 sebagai sebahagian kempen makan nanas oleh LPNM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pemberian sumbangan MAFI Prihatin ini merupakan program yang direncanakan oleh MAFI dan telah dilancarkan pada Januari lepas bagi membantu mereka yang terkesan akibat musibah yang melanda negara seperti banjir dan pandemik Covid-19.
Sumbangan juga diberikan kepada petugas barisan hadapan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan menangani pandemik Covid-19.
Setakat Oktober, seramai 125,724 orang telah menerima bantuan MAFI Prihatin di seluruh negara melalui 626 program MAFI Prihatin yang dilaksanakan oleh jabatan serta agensi di bawah MAFI.
Dalam pada itu, MAFI memberitahu, pihaknya menerusi LPNM turut menyampaikan Insentif tanaman nanas Negeri Kelantan di bawah Projek Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi bagi tahun 2021 berjumlah RM1.9 juta.
Katanya, sebanyak RM341,555.40 insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas berupa insentif lori dan jentera kepada Koperasi Penanam-Penanam Nanas Kelantan Berhad serta set mesin penyembur berkuasa kepada pekebun nanas terlibat.
“PRE Prihatin Pengusaha Nanas merupakan insentif yang diberikan oleh pihak Kerajaan melalui MAFI dan LPNM telah mula melaksanakan program bantuan insentif ini bermula April 2020 hingga Disember ini.
“Peruntukan PRE Prihatin Pengusaha Nanas bertujuan untuk merancakkan ekonomi para pengusaha nanas susulan pandemik Covid-19.
“Peruntukan tambahan kepada LPNM ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha nanas yang terlibat di sepanjang rantaian industri yang terdiri daripada pekebun kecil, pengangkut dan penjual, pemasaran, pengeksport dan usahawan industri asas tani dengan penerima manfaat adalah seramai 5000 orang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










