fbpx

3 Disember 2021, 2:32 pm

  TERKINI

Leka bermain ikan liar di santuari Sungai Sat

PENGUNJUNG memberikan makanan sambil bermain dengan spesies ikan liar di santuari MyKomuniti Perikanan (MyKP) di muara Sungai Sat, Kampung Kuala Sat di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Santuari ikan liar di muara Sungai Sat antara tarikan ramai pengunjung sejak gelembung pelancongan dibuka di Taman Negara Kuala Tahan dan perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling, mukim Hulu Tembeling di sini.

Bagi pengunjung yang belum pernah ke situ, bermain dan memegang ikan liar di kawasan santuari tersebut begitu mengujakan malah cukup terhibur khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Pengunjung hanya perlu membeli makanan ikan yang disediakan oleh penjaga santuari di situ dan kemudiannya turun ke dalam anak Sungai Sat yang cetek lalu memberikan makanan dan dalam tempoh beberapa saat sahaja banyak ikan liar mula berkerumun berdekatan kaki pengunjung.

Ketika ikan liar itu asyik berebut makanan dan bertukar menjadi jinak, pengunjung boleh menangkap dan bermain serta melepaskan semula ke air berasaskan peraturan di kawasan santuari tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah berkata, penggiat dan pengusaha ekopelancongan di situ bertuah kerana Jabatan Perikanan negeri mewujudkan santuari ikan liar semata-mata bagi tarikan pengunjung sejak beberapa tahun lalu.

“Menerusi Program MyKomuniti Perikanan (MyKP) di bawah penyeliaan Jabatan Perikanan Pahang, lebih 100,000 ekor ikan dilepas dan dipulihara sejak beberapa tahun lalu dan penduduk di sini diamanahkan menjaga bagi tujuan pembiakan spesies air tawar khususnya manfaat bagi tujuan ekopelancongan.

“Semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu dan musim banjir pada penghujung tahun, santuari ini ditutup sementara dan bermula bulan lalu dibuka semula berasaskan kebenaran pihak berkuasa,” katanya di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling dekat sini semalam.

Abdul Jabar berkata, antara spesies yang dilepaskan dan dipulihara dalam santuari MyKP ialah ikan lampam yang agak jinak dan boleh dipegang, tetapi ikan kerai, tengalan, ikan kelah agak liar dan sukar ‘disentuh’ cuma boleh bermain apabila diberikan makanan oleh pengunjung.

Sorang peniaga dari Puchong, Selangor, Arman Abdullah, 45, berkata, mengambil kesempatan gelembung pelancongan dibuka sejak bulan lalu, dia memilih kampung tradisional Melayu Kuala Sat, Hulu Tembeling untuk membawa keluarga bersiar dan bercuti bersama.

“Sampai ke kampung ini, saya dan keluarga terus ke santuari ikan liar MyKP kerana keinginan anak-anak untuk bermain dengan spesies tersebut.

“Nyata tidak menghampakan, kami sekeluarga berendam dalam air hampir sejam bermain dengan ikan liar serta mandi-manda dan berkelah sambil menikmati makanan kampung di tepi anak Sungai Sat,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI