IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah mengeluarkan 57 Notis Pengesanan Maklumat Barangan dan 136 Surat Pemberitahuan Semakan Harga Barangan terhadap peniaga barangan keperluan yang disyaki mencatut iaitu mengaut keuntungan secara tidak munasabah di negeri ini.
Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, tindakan itu dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 melalui operasi di seluruh negeri setakat semalam.
“KPDNHEP boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut di bawah AKHAP 2011.
“Peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan mencatut boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011 yang sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Saifullizan, seramai 176 penguat kuasa KPDNHEP negeri dan 79 Pegawai Pemantau Harga telah ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan harian di setiap rantaian pengedaran melibatkan pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negeri.
Beliau menjelaskan, KPDNHEP mengambil perhatian mengenai keresahan rakyat baru-baru ini berhubung kenaikan harga barangan keperluan asas seperti sayur-sayuran, ayam dan telur di pasaran yang memberi kesan kepada kos sara hidup.
Ujarnya, hasil pemeriksaan oleh KPDNHEP Perak mendapati barangan keperluan pengguna seperti sayur-sayuran antaranya kubis bunga, sawi, brokoli, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau serta ayam, telur dan lain-lain telah menunjukkan peningkatan harga di pasaran sejak beberapa minggu lalu.
“Dapatan awal mendapati kenaikan harga barangan keperluan tersebut dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti peningkatan kos pengeluaran, keadaan cuaca semasa yang tidak menentu dan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran,” jelasnya lagi.
Justeru, menurut beliau, bagi memberi pilihan kepada pengguna ketika berbelanja, rakyat di Perak disarankan supaya menggunakan aplikasi ‘Price Catcher’ yang dibangunkan oleh KPDNHEP secara percuma.
Beliau memberitahu aplikasi itu berupaya memberi pilihan yang lebih meluas kepada pengguna untuk membeli barangan keperluan kerana meliputi perkongsian harga lebih 400 barangan keperluan di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE










