PETALING JAYA: Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh Berhad bakal menambah aset dan sumber pendapatan kepada koperasi dan anggota-anggotanya menerusi pembukaan stesen minyak di KotaSas, Kuantan, Pahang.
Menurut Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), penambahan aset itu sekali gus dapat memberi keuntungan kepada anggotanya apabila projek jangka masa panjang itu dianggarkan dapat memperoleh hasil jualan sehingga RM18 juta setahun.
“Projek dijangka berjalan hujung tahun itu dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada suku tahun kedua 2022 dengan anggaran jualan bulanan mencecah RM1,326,572 berdasarkan lokasinya yang strategik,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Tan Sri Noh Omar berkata, Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh Berhad sudah memiliki sebuah stesen minyak jenama Petron di Felda Bukit Goh.
Katanya, projek stesen minyak kedua itu bermula apabila pihak KotaSas memberi peluang kepada pihak yang berminat untuk membeli tanah lot milik Pengurusan KotaSas di Kuantan, Pahang.
“Koperasi ini bijak mengambil peluang yang ada dan membeli satu lot tanah dengan membangunkan tanah tersebut bagi mendirikan stesen minyak berjenama Shell.
“Stesen minyak tunggal di kawasan KOTASAS dapat menyediakan keperluan pengguna sekitar kawasan ini termasuk penggunaan petrol, diesel, kedai serbaneka Select dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Tapak Stesen Minyak milik Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh, Pahang, yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik beliau, Datuk Kamaruzzaman Johari.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd. Shahar Abdullah dan Pengerusi Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh, Mat Zahari Derahman.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, data bagi pergerakan koperasi di Pahang sehingga 30 Jun tahun ini merekodkan sebanyak 191 koperasi di seluruh negeri Pahang dengan keanggotaan seramai 303,535 orang.
Katanya, jumlah modal syer atau yuran berjumlah RM328 juta dan jumlah aset bernilai RM1.6 billion serta pendapatan (turnover) berjumlah RM415 juta.
“Perkara ini ketara menunjukkan dalam menempuh cabaran ekonomi sekarang, koperasi dilihat mampu bertahan dan meneruskan aktiviti seperti sedia ada walaupun terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
“Di bawah pimpinan seramai 12 anggota Lembaga dan disokong anggota seramai 734 anggota, koperasi negeri ini menjana pendapatan sebanyak RM9,647,795 antara Januari 2021 hingga Ogos 2021 malahan boleh mempelbagaikan aktiviti bagi menjana keuntungan dan dinikmati anggota dalam pelbagai bentuk sumbangan.
“Koperasi dilihat dapat bertapak dengan kukuh dan mampu bergerak jauh seiring dengan koperasi berjaya yang lain,” jelasnya. – UTUSAN