Konfrontasi bukan cara tuntut hak Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

Konfrontasi bukan cara tuntut hak Sabah, Sarawak

CHRISTOPHER MANDUT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pendekatan konfrontasi menuntut hak Sabah serta Sarawak bukan langkah terbaik bagi menyelesaikan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut berkata, Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dalam sidang Parlimen pada Isnin lalu menyatakan pendekatan konfrontasi untuk berbincang perihal berkaitan pembangunan Sabah dan Sarawak bukan langkah terbaik.

“Jika dilihat Presiden PBS itu pernah membangkitkan tentang kekurangan pembangunan di Sabah ketika PBS menjadi pembangkang dan pandangan beliau (Maximus) kekal konsisten sehingga hari ini.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu bekerja keras memastikan hak dan tuntutan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 dipenuhi.

“Secara amnya, beliau telah memperjuangkan hak kita, tidak kira sebagai pembangkang atau sebaliknya. Pengalamannya sebagai ahli Parlimen enam penggal mengajar beliau bahawa pendekatan konfrontasi tidak semestinya membuahkan hasil. Suasana yang kondusif adalah penting.

“Presiden PBS itu percaya bahawa tuntutan kita akan dipenuhi melalui kerjasama semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, Maximus dilabel sebagai pro-Putrajaya dan pengkhianat susulan kenyataannya terhadap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman dan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan agar tidak mempolitikkan isu pembangunan Sabah dan Sarawak hingga menjejaskan keamanan negara.

Malah, Maximus menasihatkan Mohd. Azis agar mengelak daripada menggunakan perkataan ‘jajah’ kerana ia boleh disalah anggap sebagai mencetuskan sentimen dan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Jelas beliau, sekiranya perkara itu wujud, Ahli Parlimen Sepanggar itu harus menyokong dakwaan tersebut dengan bukti.

“Saya bersetuju dengan presiden parti bahawa setiap aduan perlu dibawa kepada perhatian kerajaan dengan mengemukakan laporan dan bukti kepada pejabat Ketua Menteri untuk dibentangkan semasa mesyuarat Majlis Khas MA63 (MKMA63).

“Majlis tersebut adalah platform terbaik kerana ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dianggotai Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, serta lapan menteri kanan.

“Sebarang ketidakpatuhan yang dibangkitkan akan dibincangkan supaya penyelesaian yang sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Jelas beliau, PBS sentiasa berjuang melalui pendekatan perpaduan dan kesatuan bagi mendapatkan hak, keistimewaan negeri dan terus berpegang teguh kepada tuntutan undang-undang seperti termaktub dalam MA63.

Christopher berkata, PBS memihak kepada perjuangan Sabah sebenar yang membawa kemajuan, pembangunan ketara dan keamanan untuk rakyat dan parti tidak memihak kepada revolusi tanpa tujuan ataupun permainan politik yang tidak mendatangkan berfaedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya