Kim Swee sedia hadapi aksi 'hidup-mati' - Utusan Malaysia

Kim Swee sedia hadapi aksi ‘hidup-mati’

SABAH akan memikirkan taktikal yang berbeza untuk menjinakkan PJ City di Stadium Likas dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia, esok.- IHSAN SABAH FOOTBALL CLUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Sabah FC tiada pilihan lain selain menang jika berhajat untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia menjelang aksi terakhir Kumpulan D, esok.

Pengendali The Rhinos Datuk Ong Kim Swee, berkata pertemuan dengan PJ City di Stadium Likas umpama ‘hidup-mati’ buat anak buahnya sama ada ingin memilih untuk mara atau sebaliknya.

“Tiada perbezaan kalau hari ini (malam kelmarin), kita dapat satu mata atau tiga mata, kita tetap perlukan kemenangan apabila berdepan dengan PJ City Selasa ini.

“Jadi, kita harus mengambil kesempatan terutamanya dengan bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan kemenangan.

“Ada kemungkinan permainan tidak begitu baik tetapi keputusan perlawanan terakhir dengan PJ City amat penting,” katanya selepas aksi menentang Kelantan FC.

Bekas jurulatih kebangsaan itu, berkata pasukannya akan memikirkan taktikal yang berbeza untuk menjinakkan PJ City, malah Kim Swee mengakui lawannya merupakan pasukan yang sukar ditewaskan biarpun hanya membariskan barisan pemain tempatan.

“Semua pemain boleh beraksi, hanya keletihan dan sedikit kecederaan saja tetapi kita akan lihat nanti pada sesi latihan siapa yang boleh bermain dan sebaliknya,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai prestasi pemain ketika melakar kemenangan tipis ke atas Kelantan FC, Kim Swee mengakui anak buahnya tidak menunjukkan permainan yang cukup baik, namun mereka sudah mencuba dengan sedaya upaya.

“Mengenai aksi kali ini, saya anggap prestasi pasukan tidak begitu konsisten meskipun kami berjaya menamatkan kemarau tanpa kemenangan.

“Secara keseluruhan, pasukan telah berjuang untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 sehingga berjaya meraih gol pada minit-minit akhir perlawanan dan sikap tersebut wajar dipuji,” ujarnya.

Skuad The Rhinos ketika ini terikat lima mata bersama PJ City yang dikendalikan oleh P. Maniam selepas mengharungi lima perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya