Kes Covid-19 meningkat bukan sebab rentas negeri, masyarakat yang culas - Utusan Malaysia

Kes Covid-19 meningkat bukan sebab rentas negeri, masyarakat yang culas

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelonggaran diberikan oleh kerajaan untuk pergerakan rentas negeri kepada individu yang lengkap vaksinasi sejak 11 Oktober lalu bukan punca kes Covid-19 meningkat.

Sebaliknya Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, trend seolah-olah ada pertambahan kes baharu kebelakangan ini ekoran sikap culas masyarakat.

“Sebenarnya rentas negeri tidak beri masalah pun, tetapi ia jadi masalah apabila ramai tidak patuh prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kebimbangan ramai kemungkinan lonjakan kes akan berlaku semula susulan kebenaran rentas negeri seperti pernah akhir tahun lepas.

Kerajaan ketika itu memberi kelonggaran tersebut buat julung kali pada 7 Disember 2020 yang kemudian menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 telah diisytihar pada 12 Mei lalu.

Langkah drastik itu amat mengecewakan umat Islam kerana berlaku sehari sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri dan diikuti pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pula pada 1 Jun lepas.

Warganet turut dilapor membangkitkan kemungkinan besar rentas negeri akan ditarik balik sekali lagi menjelang sambutan Hari Raya Puasa tahun depan kerana trend penularan wabak itu.

Mengulas lanjut, Noor Hisham bagaimanapun berkata, aktiviti balik kampung atau bercuti di destinasi tertentu tiada isu tetapi masalahnya apabila ramai sesak berkumpul secara serentak.

“Apatah lagi ada yang ambil kesempatan untuk sembang dekat di tempat sempit tanpa jarak fizikal selain ramai culas amalan SOP seperti kerap basuh tangan dengan sabun,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan situasi kebarangkalian jangkitan atau R-naught yang menunjukkan kadar 1.0 sebagai masih lagi terkawal dan bukan memberi petunjuk kes akan melonjak balik.

Jelasnya, secara teori nilai itu bermaksud kes akan mendatar tetapi tidak turun dan mungkin menjadi petanda kes naik semula tetapi ia hanya dapat dibuktikan selepas beberapa minggu.

Ia kata beliau, berdasarkan pengalaman akhir tahun lalu apabila trend kes positif harian hanya akan meningkat setelah lima minggu pergerakan rentas negeri dibenarkan di seluruh negara.

“Justeru, ini menjadi peringatan awal kepada kita agar tindakan aktif perlu diambil kembali bagi memastikan kes tidak naik mendadak antaranya pemberian dos penggalak,” tegasnya.

Namun, secara umum Noor Hisham berkata, situasi penularan Covid-19 di negara ini adalah baik dan Malaysia memasuki fasa berjaga-jaga supaya keadaan terkawal bertambah baik.

Perkembangan itu boleh dilihat apabila program imunisasi kebangsaan yang dilancarkan akhir Februari lalu berjaya menyaksikan trend penurunan kes pada minggu epidemiologi ke-36.

Dengan 95.1 peratus atau 22.2 juta individu dewasa sudah lengkap dua dos, kes serius akibat varian Delta yang mula tersebar di Malaysia awal April lalu, kini sudah dapat dikurangkan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan melancarkan dos penggalak dengan keutamaan kepada golongan rentan tertentu sejak pertengahan bulan lalu sebagai inisiatif pencegahan lebih awal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya