Kempen fizikal, ke rumah tidak dibenarkan - Utusan Malaysia

Kempen fizikal, ke rumah tidak dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi menegaskan, sebarang aktiviti ceramah yang menghimpunkan orang ramai atau secara fizikal tidak dibenarkan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, begitu juga aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti walkabout tidak dibenarkan.

Justeru, kata beliau, calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media massa dan media sosial.

“Sepanjang tempoh berkempen, calon atau parti hanya dibenarkan membuka satu Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Utama) untuk satu Dewan Undangan Negeri. Tiada bilik gerakan kecil atau tempat perkumpulan lain bagi calon atau parti dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam pada itu, Abdul Ghani memberitahu calon dibenarkan untuk berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu ditetapkan dengan mereka perlu mendapatkan permit daripada pihak polis berdasarkan tempoh masa dan lokasi untuk berkempen tertakluk kepada permit yang diluluskan polis. 

Beliau kemudian mengambil contoh lori dipasang pembesar suara yang melalui kawasan perumahan.

“Kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah. 

“Calon-calon yang bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi PRN Melaka menetapkan bahawa calon dan atau jentera pilihan raya dibenarkan untuk memasang gegantung di dalam kawasan pilihan raya, mengedar risalah bagi tujuan berkempen di peti-peti surat penduduk sekitar dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Bagi aktiviti pengedaran risalah pula, jumlahnya dibenarkan terlibat dihadkan tidak lebih dari tiga orang manakala tujuan berkempen, calon digalakkan menggunakan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Wechat, Snapchat, Whatsapp, Telegram dan lain-lain aplikasi sebagai alat untuk menyampaikan kempen.

Selain itu, kempen menggunakan rangkaian televisyen, akhbar tempatan juga digalakkan untuk digunakan dan calon perlu memanfaatkan penggunaan teknologi di dalam tempoh kempen selaras norma baharu.

Dalam pada itu, semua yang terlibat juga dikehendaki menjalani ujian RTK Ag kendiri setiap dua hari sepanjang kempen pilihan raya berlangsung, dengan kos ditanggung sendiri dan setiap keputusan ujian perlu dimuat naik ke dalam aplikasi MySejahtera.

Hanya yang mereka dengan keputusan negatif dibenarkan terlibat dalam aktiviti sepanjang kempen pilihan raya manakala individu dengan keputusan positif, tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana aktiviti kempen pilihan raya dan mengikuti garis panduan sedia ada.

Selain itu, katanya, mesyuarat parti boleh diadakan dengan had dua jam serta kekerapan tidak melebihi empat kali seminggu dengan dihadiri individu lengkap divaksin dan tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan penjarakan fizikal dan bukannya untuk sesi taklimat atau ceramah atau apa juga bentuk kempen fizikal yang dilarang.

Dalam pada itu, sidang media selepas mesyuarat parti juga dibenarkan dengan kehadiran individu yang hadir semasa mesyuarat sahaja dan juga wartawan, yang telah lengkap divaksin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya