Kementerian Pertanian peruntuk RM210 juta modenkan agromakanan - Utusan Malaysia

Kementerian Pertanian peruntuk RM210 juta modenkan agromakanan

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, menyediakan sebanyak RM210 juta menerusi  program Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan bagi tujuan membangunkan usahawan dalam bidang pertankan dan penternakan di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk Program Pemodenan Vesel Dan Mekanisasi Tangkapan serta RM60 juta bagi Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan.

Menerusi pembiayaan ini katanya, usahawan boleh mendapatkan peralatan dan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) seperti robotik, dron dan blockchain sehingga berjumlah RM1 juta pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun bagi tempoh sehingga 10 tahun.

“Daripada sudut Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan, ia turut diperluaskan daripada Vesel Zon A dan Zon B kepada Zon C dan Zon C2 untuk pemain industri menaik taraf dan memodenkan vesel dari aspek keselamatan serta peningkatan kualiti hasil tangkapan.

“Secara tidak langsung, ia dapat menarik minat warga tempatan terutamanya golongan belia menceburkan diri dalam sektor perikanan tangkapan seterusnya mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari.

Beliau berkata, inisiatif itu seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mengenal pasti pertanian pintar sebagai satu aktiviti strategik dan berimpak tinggi yang dapat menjana semula pertumbuhan ekonomi negara.

“Agromakanan adalah sektor yang dapat mengekalkan daya tahan ketika berdepan beberapa krisis dunia apabila mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 2.3 peratus pada tahun lalu, manakala sumbangan agromakanan kepada KDNK pertanian juga meningkat daripada RM44.2 bilion pada tahun 2015 kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020.

“Jadi saya yakin apabila penggunaan teknologi diaplikasikan, ia akan membawa manfaat besar kepada sektor agromakanan dan kementerian akan terus komited dalam mendukung aspirasi pemodenan sektor berkenaan bagi peningkatan produktiviti dan mengukuhkan tahap keselamatan makanan negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN