Keluhan bumiputera perlu didengar elak ketirisan bajet RM11.4 bilion - Utusan Malaysia

Keluhan bumiputera perlu didengar elak ketirisan bajet RM11.4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa kerajaan mengambil kira keluhan golongan bumiputera apabila menyalurkan peruntukan RM11.4 bilion untuk memperkasa agenda golongan itu.

Menurut Presiden Teras, Mohd. Azmi Abdul Hamid, ramai bumiputera dalam kalangan usahawan, petani, pekebun, penternak dan peniaga kecil mengeluh tidak mendapat manfaat daripada peruntukan yang diumumkan selama ini.

“Hanya segelintir sahaja yang mendapat jalan mudah melalui hubungan politik dan meraih bajet yang diperuntukkan. Mengikut Bajet 2022 ia disalurkan menerusi pelbagai inisiatif.

“Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu, RM6.6 bilion disalurkan bagi kemudahan pendidikan anak bumiputera di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Peneraju (Peneraju),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, RM4.8 bilion pula diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun) dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

Sehubungan itu, Mohd. Azmi turut mempersoalkan jika benar tujuan Bajet 2022 memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus diberikan keutamaan dalam usaha merapatkan jurang antara kaum di negara ini, maka sistem penyampaian mesti disemak semula.

“Kami berpendirian persoalan utama dalam penyaluran bantuan atau pinjaman melalui pelbagai skim dan agensi untuk bumiputera terletak kepada sistem penyampaian yang telus dan efisien.

“Keluhan kaum bumiputera selama ini ialah ketelusan dalam menentukan pihak yang layak. Salah urus dan rasuah serta campur tangan politik adalah antara penghalang agenda pemerkasaan bumiputera,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi berkata, terdapat bumiputera yang kesal dengan cara penyampaian peruntukan sarat dengan prosedur menyusahkan, tetapi bagi golongan mempunyai hubungan politik, kelulusan peruntukan tersalur dengan mudah.

“Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dilancarkan, berbilion ringgit disalurkan namun sudah masuk ke tahap 64 tahun negara merdeka, akan tetapi ketirisan peruntukan terus berlaku dan pencapaian agenda bumiputera tidak kesampaian.

“Pelbagai agensi bumiputera diwujudkan di peringkat Kerajaan Pusat, negeri, badan berkanun, yayasan dan dewan perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Malangnya ratusan juta ringgit tercicir dan tidak sampai kepada kumpulan yang disasarkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN